Orang ramai beratur menunggu giliran untuk membeli keperluan asas dalam program Jualan Gempak Raya 2022 di Tapak Pasar Pagi PJS 2D Taman Medan pagi tadi. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat perlu menolak sebarang ideologi politik dalam usaha membantu rakyat meringankan beban kos hidup rakyat.

Menteri Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, terpulanglah kepada rakyat untuk menilai bantuan yang diberikan.

”Bab hendak bantu rakyat, kita tolak sebarang idealogi politik. Bagi kita, biarlah usaha membantu rakyat dalam apa jua cara dilaksanakan oleh semua termasuk NGO dan korporat.

“Apabila kita tampil bantu rakyat, kita tidaklah bertanya kepada penduduk siapa sokong siapa kerana kita beri mereka peluang nikmati semua faedah-faedah ini. Biar rakyat menilai,” katanya yang hadir melawat jualan barangan keperluan asas program ‘Jualan Gempak Raya 2022’ di Tapak Pasar Pagi PJS 2D Taman Medan pagi ini.

Jualan itu adalah inisiatif UMNO Bahagian Petaling Jaya, menawarkan jualan murah barangan keperluan asas dalam program ‘Jualan Gempak Raya 2022’ dengan potongan 50 peratus.

Program itu dianjurkan menjelang sambutan Aidilfitri bagi membantu rakyat membeli barangan keperluan dengan harga lebih murah.

Mutalif Rahim

Noh yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor memuji inisiatif itu gembira dengan kehadiran masyarakat setempat sekitar Petaling Jaya untuk merebut peluang membeli barangan pada harga murah.

”Sebenarnya 50 peratus ini bukanlah diskaun yang diberikan kepada kita, ianya harga asal namun dalam program pagi ini, Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim menyerap kos potongan harga asal itu. Jika harga semua barangan dibeli lebih RM100, pengunjung hanya perlu bayar RM50 sahaja.

”Kita sangat mengalu-alukan program seperti ini, lagi-lagi ketika harga barangan naik mendadak sejak pandemik Covid-19 lagi, contohnya harga ayam walaupun dikawal kerajaan namun masih ada lagi yang masih naikkan harga. Begitu juga dengan barangan asas lain seperti gula, beras, tepung dan lain-lain.

”Kalau ramai lagi tampil buat jualan murah, ia amat digalakkan. Seperti program pagi, ianya adalah sukarela dan inisiatif Ketua Bahagian UMNO Petaling Jaya, Datuk Mutalif,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast