KUALA LUMPUR – Jenazah Allahyarham Tan Sri Ali Hamsa, bekas Ketua Setiausaha Negara yang meninggal dunia di Ireland dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada hari Isnin ini, jam 3 pagi.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3, Putrajaya untuk penghormatan terakhir di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni bermula mulai jam 8 pagi hingga 9.45 pagi.
Jabatan Perdana Menteri berkata, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan pada pukul 10 pagi di Dewan Solat Utama, kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya.
”Pelawat-pelawat yang akan memberikan penghormatan terakhir dinasihatkan untuk tiba di dewan mulai jam 8 hingga ke 9.45 pagi sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya pada jam 10.15 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Allahyarham Ali, 65, yang berasal dari Kluang, Johor meninggal dunia pada 21 April lalu di Hospital Dublin, Ireland. – MalaysiaGazette