Polis Selangor menyiasat dakwaan dua anggotanya guna kekerasan terhadap suspek yang tular menerusi media sosial.Ihsan IPK selangor

KUALA LUMPUR – Polis melakukan siasatan terhadap satu video tular yang mendakwa anggota polis melakukan kekerasan semasa melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan telah menerima dua laporan berkaitan klip video tular itu.

Katanya, pihaknya telah menerima dua laporan yang dibuat oleh seorang lelaki dan anggota polis berkenaan yang terlibat dalam insiden itu.

“Masing-masing mendakwa mengalami kecederaan ringan semasa proses tangkapan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Tambah beliau, satu video klip berdurasi satu minit 25 saat itu memaparkan dua anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang sedang dalam proses membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan.

Menurutnya, polis telah menjalankan siasatan terhadap kejadian ini dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Baharudin berkata, orang ramai atau saksi bebas yang melihat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

“Orang ramai diminta agar tidak membuat kesimpulan sendiri atau membuat perkongsian dan menyebarkan sebarang berita yang diperoleh dari sumber yang tidak tepat,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast