528 Rohingya ethnic detainees broke out from the Relau Temporary Immigration Detention Depot in Sungai Bakap after a riot today.

KUALA LUMPUR – Seorang aktivis sosial hari ini menegur tindakan segelintir pihak yang lantang mengkritik pihak berkuasa terutama pegawai imigresen berhubung insiden pelarian etnik Rohingya lolos dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap pada Rabu lepas.

Kamal Affandi Hashim, yang juga seorang penganalisis jenayah, sebaliknya meminta mereka mengenang kembali budi dan layanan Malaysia kepada golongan pelarian di negara ini.

Beliau berkata, aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO) terbabit seharusnya membuka pusat perlindungan sendiri jika beranggapan apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah salah serta mengambil inisiatif untuk menjaga kebajikan pelarian mengikut piawaian mereka.

Menurut Kamal, selama ini Malaysia telah memberikan layanan baik tanpa mementingkan diri sendiri dan pelarian terbabit sepatutnya bersyukur dengan keistimewaan yang mereka nikmati yang bukan hanya terhad kepada makanan harian malah tempat untuk berteduh sementara menunggu giliran dihantar pulang ke negara asal atau ditempatkan semula di negara lain.

“Kos setiap orang ialah RM40 sehari bagi makanan ketika mereka dalam tahanan (tetapi) kita tidak hantar bil ke negara asal kerana ia adalah ihsan kerajaan Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Dari segi prosedur yang perlu dilalui oleh pelarian terbabit, Kamal Affandi berkata, jika ada yang mendakwa berasal dari mana-mana negara jiran, Jabatan Imigresen tidak boleh menghantar pelarian itu pulang tanpa saluran yang betul sebelum mengenal pasti serta mengesahkan identitinya dengan negara asal dan hanya selepas itu, barulah dia boleh dihantar pulang.

“Sekiranya terdapat kelewatan dalam kesemua protokol ini, mereka mungkin terpaksa tinggal lebih lama daripada yang dijangkakan.

“Kerajaan kita telah buktikan sebelum ini dan akan berbuat demikian dalam masa terdekat iaitu kita ingin mengurangkan masalah pelarian,” katanya.

Kamal Affandi berkata, majoriti pelarian di Malaysia berasal dari Asia Tenggara dan negara terbabit mengambil langkah proaktif dalam proses dokumentasi atau mengesahkan bahawa rakyat mereka yang berada di Malaysia.

Beliau turut memuji usaha kerajaan Malaysia kerana sanggup menukar bekas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang tidak lagi digunakan susulan penamatan PLKN untuk dijadikan pusat transit atau depot tahanan sementara bagi mengelakkan kesesakan di kem tahanan sebenar.

“Saya ingin memuji proses pemikiran sebegini yang menyaksikan penukaran kem PLKN kepada pusat tahanan transit imigresen. Bagaimanapun, kita perlu memberi penekanan terhadap nisbah orang yang ditahan dengan tenaga kerja untuk menjaga mereka.

“Bagi kem yang menempatkan lebih 700 tahanan dengan kira-kira 27 pegawai imigresen, nisbah bagi setiap pegawai ialah kira-kira 26 tahanan dan ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal,” katanya.

Mengulas sama ada tahanan yang lolos mampu mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat tempatan di kawasan berhampiran atau mengancam keselamatan negara, Kamal Affandi berkat,a adalah aneh jika ada orang yang tidak berasa bimbang dengan kehadiran mereka.

Beliau juga berkata, beberapa perkara baik timbul susulan insiden itu yang menekankan kepentingan usaha yang diselaras oleh pihak berkuasa.

“Meskipun imigresen memiliki kaedah sendiri dalam mengawal pusat mereka, komandan dinasihatkan agar menjalin hubungan yang kukuh dengan pihak berkuasa tempatan sama ada polis atau agensi penguatkuasaan lain kerana ini akan membantu meminimumkan risiko berlaku insiden seperti ini dan meningkatkan tahap kerjasama serta persefahaman sesama mereka,” katanya.

Sebelum ini, Mahi Ramakrishnan, seorang aktivis hak asasi manusia yang mengendalikan organisasi bukan berasaskan keuntungan iaitu Beyond Borders, berkata sudah tiba masanya kerajaan duduk berbincang dengan organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain untuk berganding bahu di lapangan dalam mewujudkan laluan selamat ke arah pemberian suaka untuk pelarian selain akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Insiden yang berlaku pada kira-kira 4.30 pagi Rabu lepas itu menyaksikan sejumlah 528 tahanan etnik Rohingya melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap di Kedah.

Majoriti daripada mereka sudah berjaya ditahan semula dan polis kini mengesan tahanan yang masih bebas.

Enam daripada tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri itu maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di KM 168 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) berhampiran Jawi, Pulau Pinang. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Majority besar pelarian di luar tahanan ditanggung kebajikan mereka oleh kad kebal unhcr maka tahanan pelarian harus boleh pilih sama ada mahu tinggal dalam tahanan ditanggung oleh JIM seperti JIM hormati pelarian enggan pergi tinggal ke pulau Bashan Char dan ke negara Indonesia, Thai land yang juga ada peri kemanusiaan terhadap pelarian. Bila dah kemaruk undi baka migran timah dan getah yang menguntungkan ekonomi penjajah Inggeris maka nanti kelak kemaruk juga undi baka pelarian tengoklah sejarah politikus Pak Pandir menang sorak kampung tergadai.

Comments are closed.