Pengasas Baju Melayu Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi bersama pelangganya, Tengku Zafrul.

KUALA LUMPUR – Sejak kebelakangan ini, media sosial dihujani dengan pelbagai reaksi netizen terhadap pengasas Baju Melayu Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi.

Tujuh tahun mengusahakan baju Melayu yang kini menjadi trending seluruh negara, ramai kagum dengan hasil titik peluhnya.

Namun tidak kurang juga kecaman yang diterimanya.

Ada segelintir netizen mendakwa kejayaan yang ditempah anak muda berusia 25 tahun itu adalah kerana lahir daripada keluarga berada dan berpangkat dan memang dikenali dalam arena perniagaan.

Namun rupa-rupanya, usahawan muda berkenaan bukan orang yang bergantung harap kepada latar belakang atau menggunakan kesenangan atau nama daripada adik beradik lain sebagai tambatan koleksi baju Melayu ciptaannya menjadi terkenal seperti hari ni.

Sebaliknya, berkat usaha berbelas tahun dan prinsip merendah diri akhirnya Baju Melayu Bulan Bintang bertapak di arena perniagaan dengan jayanya.

Menurut salah seorang abangnya, Azri Zahier Azmi, adik bongsunya itu tidak pernah mengambil kesempatan atau menggunakan ‘kabel’ demi perniagaannya.

Sebaliknya Azri rasa kagum terhadap usaha luar biasa adiknya yang berprinsipkan kekuatan minda, fizikal yang memulakan perniagaannya sebagai pencetak baju t-shirt.

Menurut beliau, sikap adik bongsunya yang tidak sombong sering menjadi pembuka rezeki untuknya terus mengembangkan sayap perniagaan baju Melayu.

“Wahai abang, kakak, makcik, pakcik, apa yang kamu tengok hari ini, butik besar, banyak cawangan semua ni bukan baru hari ini jadi. Bukan petik jari. Ini semua hasil usaha, berkat sabar, kekuatan minda dan fizikal juga rezeki Allah berkat doa ibu-bapa adik-beradik selama tujuh tahun lamanya.

“Ya, jenama Bulan Bintang ini sudah tujuh tahun dan bertahun-tahun sebelum itu, adik bongsu aku ni berniaga cetak t-shirt dari zaman sekolah, ada juga buat khidmat ambil gambar (photography dan videography). Pelanggan dia pun semua bukan calang-calang.

“Aku pun kagum. Bila tanya macam mana dapat pelanggan gempak ni? Dia jawab; “Adik tengah makan kat R&R, sembang-sembang dengan pak cik meja sebelah pasal adik buat service videography. Rupanya pakcik tu bos besar sebuah syarikat ini. Terus dia bagi job. Ini namanya rezeki ringan mulut. Bukan cable,” tulisnya menerusi Facebook.

Tambah Azri, meskipun lahir daripada keluarga yang tahu selok-belok perniagaan namun adiknya tidak diberikan kelebihan itu sebaliknya semua mereka masing-masing perlu memerah keringat dan membanting tulang sendiri.

“Selama tujuh tahun adik aku meniaga, takda hidup mewah-mewah. Business first. Time bukan musim raya, dia kerja makan gaji. Kumpul duit sikit demi sikit. Tahun keenam baru berjaya buka butik.

“Wahai abang, kakak, pakcik, makcik, berniaga jual baju Melayu, jual air, jual durian, jual sate ini apa kabel boleh pakai? Apa pangkat jadi berguna? Kalau nak ikutkan, lagi malu ‘anak Datuk’ jual Baju Melayu, jual durian, jual sate tepi jalan,” ujarnya.

Bukan hanya mahu berjaya untuk dirinya sendiri, malah kata Azri adiknya itu turut berkongsi  dengan golongan yang ingin mencari rezeki apabila hampir 6,000 menjadi ejen dan mengupah 200 pekerja.

“Ramai yang buat sale lebih RM1 juta dalam 21 hari. Itulah matlamatnya dari tujuh tahun lepas meramaikan ahli ekonomi bangsa ini. Tahun ini hampir 200 orang digajikan oleh jenama ini. Yang lain? Buka Facebook, Instagram, Tiktok, kerjanya kecam orang sana-sini,” ujarnya yang menyifatkan kejayaan seseorang sepatutnya dirai bukannya dipertikai.

Turut kecewa dengan tindakan segelintir warganet adalah kakak usahawan muda berkenaan, Nur’ain Zalia Azmi.

Mengaku terkesan dengan tuduhan segelintir netizen, beliau sedih dengan komen-komen yang dilontarkan sehingga tidak dapat menahan air mata.

Menyedihkan lagi apabila Nur’ain berkata, ibu mereka yang berumur lebih 60 tahun turut membaca segala tomahan netizen terhadap adik bongsunya itu.

“Di sebalik kejayaan perniagaan adik-beradik aku, ada yang bekerja di pejabat. Tinggal di Puncak Alam keluar bekerja seawal 6 pagi hanya untuk elak jalan sesak kerana beli rumah yang murah.

“Nak suruh kamu renungkan, logikkah kalau Abang Cik, emak, abah sekaya dan seberjaya memiliki ‘Empayar Megah Holding’ macam yang netizen bayangkan itu ada anak dan adik macam aku? Baik mereka bagi je ‘Empayar Megah Holding’ itu dengan aku,” katanya.

Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz merupakan salah seorang pelanggan Baju Melayu Bulan Bintang.

Mula bertapak di Uptown, kini Azzim berjaya membuka butik sendiri selain beberapa buah cawangan lain.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast