KUALA LUMPUR – Seorang jurulatih renang merupakan antara empat individu yang ditahan polis kerana disyaki menjadi dalang sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah jenis syabu dalam beberapa serbuan yang dilakukan di Selangor dan Johor.
Sindikit tersebut yang mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran di utara Semenanjung itu dengan menjadikan Lembah Klang sebagai transit sebelum menyeludup ke Indonesia menerusi laluan laut.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Komisioner Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, polis telah melancarkan empat serbuan di negeri Johor dan Selangor pada 22 dan 23 April lalu.
“Dalam serbuan pertama di rumah teres di Puchong, Selangor kita berjaya menahan dua orang suspek lelaki iaitu dalangnya seorang jurulatih renang berusia 25 tahun dan rakannya penganggur berusia 29 tahun.
“Berpandukan maklumat kedua-dua suspek itu, polis melakukan serbuan kedua di satu lagi rumah di daerah sama sebelum pemeriksaan lanjut berjaya membawa kepada penemuan dan rampasan dadah jenis syabu seberat 287 kilogram dianggarkan bernilai RM10.3 juta,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Menurut Ayob Khan, berpandukan maklumat yang diperolehi daripada jurulatih renang itu, pasukan JSJN Bukit Aman melancarkan dua lagi serbuan di Johor Baharu yang membawa kepada penahanan dua suspek lelaki.
Tambah beliau, hasil siasatan mendapati, selain diseludup ke luar negara, dadah tersebut juga diedar di Selangor dan Johor oleh sindiket yang aktif sejak Januari lalu.
Ujar beliau, kesemua suspek kini direman antara lima hingga tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
“Dalam keempat-empat serbuan itu pasukan juga berjaya menyita barang dan aset kenderaan milik sindiket bernilai RM133,000 dan syabu berkenaan boleh diedarkan kepada penggunaan seramai 1.4 juta penagih di negara ini.
“Polis juga mempergiatkan usaha untuk menjejaki saki baki suspek sindiket ini yang kita percaya bebas masih bebas di,” katanya sambil menambah tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau. – MalaysiaGazette