Wan Hassan.

BANDAR BAHARU – Polis masih mengesan baki 69 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap di Relau di sini, pada Rabu lepas.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, tiga lelaki berjaya ditahan semula semalam menerusi Ops Kesan.

“Setakat jam 6 pagi tadi, kita masih mengesan 58 lelaki, enam wanita, empat kanak-kanak wanita dan seorang kanak-kanak lelaki.

“Dari hari kejadian sehingga kini, seramai 459 tahanan etnik Rohingya telah berjaya ditahan semula.

“Pecahan membabitkan 236 lelaki, wanita (91), kanak-kanak lelaki (68) dan dan kanak-kanak perempuan (64) ,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, seramai 528 etnik Rohingya meloloskan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sungai Bakap di Relau di sini pada Rabu lalu.

Enam daripada jumlah tahanan itu dilaporkan maut selepas mereka terlibat dalam kemalangan ketika melintas jalan di Kilometer 168 PLUS menghala selatan iaitu berhampiran kawasan Jawi, Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.