Noh Omar

PUTRAJAYA – Mana-mana ahli UMNO termasuk Dr Mohamad Khir Toyo terbuka untuk merebut jawatan tertinggi parti itu sama ada peringkat cawangan mahu pun bahagian apabila musim pemilihan tiba.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, ini kerana parti Melayu itu masih mengamalkan semangat demokrasi dan tidak menghalang mana-mana ahlinya menjadi pemimpin setiap peringkat.

“Dalam politik ini bebas, siapa nak comeback ke, nak datang ke biarlah ahli menentukan. Kalau di Sungai Besar, biar ahli bahagian tentukan, kalau dalam pilihan raya, biarlah rakyat menentukan.

“Kita mengamalkan dasar demokrasi, jadi terpulang kepada ahli UMNO,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), di Hotel Everly hari ini.

Sebelum ini, Mohamad Khir yang juga bekas Menteri Besar Selangor menyatakan hasrat untuk kembali ke dalam arena politik dan mahu merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar daripada penyandangnya, Datuk Seri Jamal Md.Yunos.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan pemilihan UMNO di semua peringkat hanya akan dilakukan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan bukannya pada awal tahun ini.

Sebelum ini, Perhimpunan Agung UMNO 2021 meluluskan usul supaya pemilihan parti ditangguh enam bulan selepas PRU-15 diadakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast