KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil ahli politik yang terdapat dalam minit mesyuarat ‘PasLeak’ dalam masa terdekat bagi memperincikan dakwaan perancangan politik membabitkan dua pemimpin Pas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya telah memulakan siasatan berhubungan kes tersebut.
“Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan memangil semua ahli politik yang dinamakan dalam dokumen tersebut bagi membantu siasatan,” katanya selepas majlis pelancaran Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 di Menara TM, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Azmi tidak mendedahkan bila ahli politik itu akan dirakam keterangan.
Dokumen yang tular itu mendakwa terdapat perbincangan dalam kalangan pemimpin dalam Perikatan Nasional (PN) agar proses kehakiman terhadap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipercepatkan, selain usaha menjatuhkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menerusi pertuduhan jenayah.
Bagaimanapun pada Jumaat lalu, Naib Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad, menyifatkan penyebaran dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Pas adalah cubaan meretakkan hubungan antara parti-parti Melayu. – MalaysiaGazette