Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penjawat awam lelaki di Putrajaya pada Jumaat lepas kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penjawat awam lelaki di Putrajaya pada Jumaat lepas kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000.

Sumber berkata suspek berusia 30-an yang bertugas di sebuah agensi kerajaan itu disyaki meminta habuan berkenaan sebagai balasan memberikan projek kepada beberapa syarikat berhubung kerja berkaitan sanitasi di pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri di Johor, baru-baru ini.

Menurutnya, suspek sebelum ini dipercayai pernah meminta wang lebih RM130,000 daripada seorang individu pada awal tahun ini bagi kerja berkaitan sanitasi namun individu terbabit hanya mampu memberikan wang berjumlah kira-kira RM100,000.

“Suspek yang bersetuju mengurangkan jumlah habuan yang diminta kemudian bertemu dengan individu berkenaan pada Jumaat lalu untuk menyerahkan wang seperti yang dipersetujui,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan penahanan lelaki tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, lelaki tersebut direman selama empat hari yang berakhir pada hari ini dan dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast