Some e-scooter riders riding against traffic in the middle of the road and endanger themselves and other motorists at Taman Tasik Perdana, Cyberjaya. PIX: MUHD NA'IM / MalaysiaGazette / 17 APRIL 2022.
Gelagat orang awam menunggang e-skuter ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Tasik Perdana, Cyberjaya. Foto MUHD NA'IM, 17 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Tindakan kerajaan melarang kenderaan mikromobiliti digunakan digunakan di atas jalan yang berkuat kuasa serta-merta amat tepat, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

“Tindakan ini bukanlah tanda tidak menyokong penggunaan kenderaan jenis tersebut, namun ia bertujuan menyelamatkan nyawa para pengguna secara keseluruhannya.

“Untuk membentuk keadaan yang seimbang, saya pohon pihak berkuasa tempatan (PBT) di tiga Wilayah Persekutuan untuk membuat kajian terperinci cadangan menyediakan kemudahan infrastruktur jalan bagi menyokong penggunaan kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Kelmarin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan larangan penggunaan kenderaan jenis mikromobiliti membabitkan tiga kategori di atas jalan raya berkuat kuasa serta-merta.

Larangan itu dibuat menerusi pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (Kaedah) yang sudah berkuat kuasa pada 17 Disember lalu.

Beliau berkata, tiga kategori itu termasuk moped, Personal Mobiliti Devices (PMD) iaitu skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman atau pun kuasa manusia yang mempunyai kelajuan maksimum 50 kilometer sejam serta Personal Mobiliti Aids (PMA).

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, langkah ini juga tepat kerana Wilayah Persekutuan antara kawasan yang memiliki kadar penggunaan tinggi terhadap kenderaan mikromobiliti ini.

“Di Putrajaya dan Labuan juga tidak terkecuali, ramai yang memilih menggunakan kenderaan jenis Moped (mempunyai 2/3 roda dengan punca kuasa dari sumber elektrik) untuk bergerak ke tempat kerja dan lain-lain destinasi.

“Dengan keadaan jalan raya yang sering mengalami kadar penggunaan yang tinggi saban hari, maka kenderaan sebegini mampu menjemput risiko kemalangan di jalan raya,” jelas beliau.

Dalam pada itu, pihaknya tidak menolak penyelesian alternatif terhadap penggunaan kenderaan Mikromobiliti.

Antaranya mewujudkan laluan khas untuk motosikal, basikal dan pejalan kaki.

“Apapun ia memerlukan kajian menyeluruh terlebih dahulu sebelum cadangan tersebut diimplementasi di Wilayah Persekutuan.

“Saya berharap para pengguna jalan raya di Wilayah Persekutuan terus mengamalkan sikap berhemah dan kekal mematuhi peraturan jalan raya demi kesejahteraan bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette