Peralatan peralatan Personal Mobiliti Aids yang digunakan OKU dilarang digunakan di atas jalan raya. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan hari ini menjelaskan kekeliruan orang ramai terutama golongan orang kelainan upaya (OKU) mengenai pemahaman berkaitan peraturan penggunaan peralatan Personal Mobiliti Aids (PMA).

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kenderaan mikromobiliti di bawah klasifikasi Personal Mobiliti Aids (PMA) secara umumnya merupakan kenderaan yang direka bentuk dan dibina bagi kegunaan individu yang mempunyai masalah pergerakan dan khasnya untuk golongan OKU.

Penggunaan PMA ini di atas jalan adalah dilarang kerana tiada mana-mana orang dibenarkan menggunakannya di atas jalan yang bercampur dengan aliran trafik kenderaan motor yang lain seperti kereta, lori pasir dan bas.

Jika tidak dilarang, penggunaan PMA di atas jalan termasuk di atas lebuh raya akan mendatangkan risiko nahas jalan raya dan kehilangan nyawa atau kecederaan yang tinggi.

Larangan ini juga bagi mengelakkan PMA ini disalah guna oleh individu yang sihat tubuh badan untuk menggunakan sewenang-wenangnya di atas jalan.

”Namun, penggunaan PMA ini tidaklah dilarang untuk digunakan di atas permukaan (surface) selain daripada jalan kerana ianya adalah di luar daripada skop Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah Larangan ini.

”Penggunaan di atas permukaan atau lokasi seperti di dalam kawasan shopping mall, laluan pejalan kaki/kaki lima kedai dan di taman-taman adalah tertakluk kepada kuasa-kuasa oleh pihak berkuasa yang berkenaan dan/atau pemilik taman/pusat beli-belah,” katanya di sini.

Penjelasan itu dibuat susulan pengumuman MoT pada 26 April lalu yang memaklumkan tiga kenderaan mikromobititi dilarang penggunaan di atas jalan menerusi pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan
Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (“Kaedah Larangan”).

Kenderaan tersebut ialah moped; personal mobiliti devices termasuk skooter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman ataupun kuasa manusia dan PMA.

Ka Siong berkata, dalam membangunkan dasar ini, MOT juga telah mengadakan sesi libat urus bersama wakil-wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat, OKU Central dan persatuan-persatuan OKU pada 23 April 2021, bagi mendapatkan input daripada pihak-pihak tersebut dalam pelaksanaan larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti.

Sehubungan itu, bagi golongan yang benar-benar jatuh di bawah kategori OKU dan/atau mempunyai masalah kesihatan, individu berkenaan boleh menggunakan lintasan pejalan kaki yang diadakan di atas jalan (dengan berada di atas PMA) untuk melintas jalan tersebut.

Namun, pengguna adalah dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan menjaga keselamatan diri dan pejalan kaki yang lain semasa melintas jalan. – MalaysiaGazette