Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak beramah mesra dengan Shariffah Maizahtul Farain pada Program CSR MG Prihatin di Rumah Awam 2, Ayer Molek, Melaka. Foto AFFAN FAUZI. 27 APRIL 2022.

MELAKA – Hanya perasaan sebak tergambar pada wajah seorang ibu tunggal di Rumah Awam Ayer Molek  di sini apabila menerima bantuan keperluan asas harian termasuk duit raya menerusi Program MG Prihatin 2022 semalam.

Shariffah Maizahtul Farain Syed Nazl, 32,  tidak menyangka kakitangan portal berita, MalaysiaGazette (MG) diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noraini Abd Razak sanggup datang dari Kuala Lumpur semata-mata untuk menyantuninya yang baharu kehilangan suami akibat Covid-19 pada Ogos tahun lalu.

Menurutnya, bantuan diterima berupa barangan asas seperti beras, gula, minyak, tepung selain wang tunai kepada masyarakat yang terjejas akibat Covid-19 menjelang Aidilfitri beberapa hari lagi amat bermakna.

“Saya harap, lebih banyak syarikat swasta dapat perluaskan lagi program sebegini yang bukan sahaja meringankan beban malah memberi kesan kepada emosi agar mereka yang kurang bernasib baik tidak terus berasa keseorangan.

“Bantuan ini walaupun nampak ringkas dan kecil tapi usaha dilakukan cukup bermakna sebagai tanda ingatan dan saya mendoakan agar program sebegini dapat diteruskan lagi di masa hadapan,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak menyampaikan sumbangan kepada Shariffah Maizahtul Farain pada Program CSR MG Prihatin di Rumah Awam 2, Ayer Molek, Melaka. Foto AFFAN FAUZI. 27 APRIL 2022.

Menceritakan nasib dihadapi, Shariffah  yang bekerja sebagai pembantu guru di Tabika KEMAS tidak menyangka pandemik Covid-19 turut meragut nyawa suaminya, Nashrun Mad Nor yang meninggal dunia pada 14 Ogos tahun lalu pada usia 36 tahun.

“Arwah suami pergi secara tiba-tiba selepas lima hari mendapatkan rawatan di Hospital Melaka membuatkan kami tiga beranak termasuk dua anak Muhammad Aliff, 7, dan Muhammad Ariff, 5, hilang tempat bergantung.

“Sekarang ini, selain kerja di Tabika KEMAS, saya juga buat berniaga kecil-kecilan jual biskut raya dan sandwich selain ambil upah bersihkan inap desa di kawasan rumah,” katanya.

MalaysiaGazette masih mengalu-alukan tajaan dan sumbangan daripada individu-individu dan syarikat korporat yang berhasrat menyertai MG Prihatin.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pejabat MalaysiaGazette di talian 03-9054 6842. – MalaysiaGazette