Sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan anggota Jabatan Imigresen dalam satu operasi penguatkuasaan di Pasar Borong Harian Selayang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melakukan siasatan lanjut terhadap tiga warganegara Pakistan selepas didapati memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pemilikan dokumen antarabangsa itu menimbulkan kemusykilan pihaknya kerana Pakistan bukan sebuah negara yang bergolak.

“Mereka ini akan ditahan untuk siasatan lanjut oleh JIM bagaimana mereka boleh memiliki kad UNCHR ini sedangkan kita tahu Pakistan bukannya bukan negara bergolak seperti Myanmar dan negara-negara lain.

“Kad ini tulen yang dikeluarkan oleh UNHCR cuma Imigresen akan buat siasatan lanjut untuk mengetahui atas alasan apa mereka boleh memperoleh kad UNCHR ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengetuai Op Belanja membabitkan 109 anggota Imigresen Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor, serta dibantu agensi penguatkuasa lain membabitkan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Dalam operasi itu, seramai 248 warga asing ditahan di Pasar Harian Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan kad UNCHR yang dimiliki warganegara Pakistan terbabit mempunyai kaitan dengan sindiket pemalsuan dokumen itu yang dibongkarkan pihaknya tahun lalu.

“Kad UNCHR yang palsu kalau mengikut operasi sebelum ini di mana satu sindiket pernah ditumpaskan Imigresen tahun lepas.

“Mereka ini membayar antara RM400 ke RM500 untuk mendapatkan kad UNCHR yang palsu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast