Isham Jalil

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diberi tempoh 48 jam supaya meminta maaf dan menarik balik tuduhan ke atas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Isham dalam hantaran Facebooknya menegaskan, jika tiada respon dalam tempoh itu, beliau mempertimbangkan untuk mengambil tindakan selanjutnya termasuk membuat laporan polis.

“Saya setuju dengan saranan netizen dan saya akan membuat laporan polis esok dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kesalahan fitnah Sanusi itu.

“Tidak ada sesiapa boleh terlepas dari undang-undang jika mereka memfitnah, tidak kira sama ada orang biasa mahupun menteri besar. Undang-undang tidak mengira status atau jawatan,” katanya.

Semalam, dalam sidang media di Wisma Darul Aman di Kedah, Sanusi dilaporkan berkata, ‘dokumen Pas Leaks’ dipercayai dibuat pasukan laskar siber pihak tertentu yang bakal mendapat kepentingan apabila maklumat berkaitan dakwaan perancangan menjatuhkan kepimpinan UMNO disebarkan secara terbuka.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat menegaskan, kandungan dokumen yang dikatakan adalah minit mesyuarat kepimpinan parti itu sangat diragui kerana dibuat tanpa mengikut ejaan dan urutan kebiasaaan format.

“Saya, kalau nak rancang perkara sebegitu (menjatuhkan kepimpinan UMNO), saya tidak tulis. Orang bodoh sahaja tulis selepas itu sebar bagi orang baca.

“Saya beranggapan dokumen itu dibuat laskar siber pihak yang dapat kepentingan daripada dokumen itu, contohnya Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Isham Jalil,” kata Sanusi sebagaimana dilaporkan media.

Menurut Isham, minggu lepas beliau telah menyarankan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sumpah laknat apabila menafikan minit mesyuarat yang mereka ada bincang atau berkomplot untuk menjatuhkan serta menyumbat pemimpin UMNO ke dalam penjara itu tular.

Kandungan minit mesyuarat itu, katanya, adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diambil enteng kerana melibatkan banyak unsur konspirasi, komplot dan jenayah.

“Namun, Samsuri gelar minit mesyuarat itu sampah dan takut untuk sumpah laknat yang dia tidak terlibat atau pernah berbincang seperti dalam minit mesyuarat tersebut.

“Semalam, tidak semena-mena Sanusi pula tiba-tiba memetik nama saya, dia kata kononnya minit mesyuarat itu “mungkin ditulis” oleh saya, saya “ada kepentingan” kepada dokumen itu, saya “menggunakan dokumen itu”, dan orang macam saya “ada potensi untuk membuat dokumen itu”.

“Jika Sanusi tahu undang-undang, tentunya dia tidak akan terlepas cakap apa yang dia telah sebut ini. Sebab perkara ini adalah tuduhan terbuka yang membawa unsur fitnah yang berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi seseorang,” katanya.

Jelas Isham lagi, mengikut undang-undang, penggunaan perkataan “mungkin” tidak melepaskan dia daripada kesalahan memfitnah: insinuasi, innuendo dan kiasan juga boleh membawa elemen fitnah dalam undang-undang tort mahu pun jenayah.

Oleh itu, ujarnya, Sanusi boleh didakwa dengan kesalahan memfitnah jenayah di bawah Seksyen 499 Akta 574 Kanun Keseksaan dan membawa hukuman dua tahun penjara di bawah Seksyen 500 akta yang sama.

“Semalam, saya sarankan agar Sanusi dan Samsuri bersumpah laknat menyatakan mereka tidak terlibat dan tidak pernah berbincang seperti dalam minit mesyuarat tersebut.

“Saya pun akan bersumpah laknat bersama mereka kerana saya berani kata bahawa tuduhan Sanusi kepada saya itu adalah fitnah melulu terhadap saya kerana saya tidak ada kaitan pun dalam penyediaan minit mesyuarat tersebut.

“Namun saya rasa, Sanusi juga seperti Samsuri akan takut untuk bersumpah laknat. Sebab jika mereka tipu mereka tahu mereka akan dilaknat di dunia dan akhirat,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Saman jaaa ..terutama Sanusi tu…dia tu mmg ada rekod kaki penipu mcm dlm kes dia buat test drive kereta tu..mulanya tak mengaku tu…kaki pembohong besar…Mcm mana laaa org Kedah ada MB kaki pembohong mcm ni…

Comments are closed.