KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap agar 13 pelajar yang terlibat dengan kes buli di sebuah sekolah menengah semalam sedar tentang kesilapan yang telah dilakukan.
Dalam masa yang sama, bekas Perdana Menteri itu berkata, buli berisiko membawa kepada budaya samseng yang tidak wajar dibanggakan.
“Saya sedih membaca berita kes buli di sebuah sekolah di Langkawi. Buli membawa kepada budaya samseng. Kini ianya menjadi kes polis.
“Saya harap semua pelajar yang terlibat sedar dan ambil peringatan yang buli bukanlah sesuatu yang harus kita banggakan,” katanya menerusi akaun Twitter, hari ini.
Semalam tular video di media sosial menunjukkan seorang pelajar lelaki dipukul dan dipijak oleh sekumpulan pelajar.
Mangsa kemudian membuat laporan polis yang membawa kepada tangkapan 13 pelajar tingkatan 4 dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan.
Siasatan awal polis mendapati insiden terbabit tercetus berikutan rasa tidak puas hati akibat ejek mengejek. – MalaysiaGazette