KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kerajaan membuat perubahan drastik kepada sistem pekerjaan di negara ini termasuk menyegerakan meraktifikasi beberapa protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, terdapat beberapa protokol yang tidak sepenuhnya diikuti seperti Konvensyen 98 yang melibatkan hak untuk berkesatuan dan perjanjian bersama.
“MTUC mahukan tindakan segera daripada kerajaan untuk mewujudkan dasar setiap syarikat dimestikan mempunyai kesatuan untuk mewakili pekerja.
“Pekerja boleh memilih untuk diwakili oleh kesatuan atau tidak. Perundingan Perjanjian Bersama tidak lagi melalui proses yang rumit dan panjang.
“Perundingan Perjanjian Bersama secara automatik diberikan kepada kedua-dua pihak untuk berunding,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
MTUC juga mendesak kerajaan menghapuskan sistem kontrak bagi setiap pekerjaan yang mana ia didakwa satu sistem yang zalim dan menafikan hak pekerja.
“Pekerja sentiasa berada dalam situasi kebimbangan sama ada kontrak disambung atau tidak. Perkembangan kerjaya tidak dapat dipastikan. MTUC tidak mahu status pekerjaan dijadikan ugutan kepada pekerja kontrak.
“Kerajaan perlu menghapuskan sistem pelantikan kontraktor dalam pekerjaan yang diperlukan secara berterusan seperti kontrak pembersihan dan pengawal keselamatan.
“Golongan pekerjaan ini adalah golongan bawahan yang bekerja untuk kelangsungan kehidupan. Kerajaan perlu ambil peduli keluhan dan rintihan kaum pekerja. Mereka adalah pemacu ekonomi negara yang mencorakkan warna politik negara.
Sementara itu, MTUC turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas pelaksanaan gaji minimum baharu sebanyak RM1,500 di bawah Perintah Gaji Minimum 2022 yang akan dilaksanakan pada 1 Mei 2022.
“Ini adalah inisiatif yang baik oleh kerajaan dalam mewujudkan Keluarga Malaysia yang lebih baik. Tahun ini juga kita melihat keazaman kerajaan untuk meminda Akta Perburuhan.
“Beberapa pindaan yang dilakukan menepati keperluan asas seperti cuti materniti kepada 98 hari, cuti paterniti kepada tujuh hari, mengurangkan waktu kerja, perlindungan akta kerja kepada semua pekerja dan banyak lagi,” katanya.
Katanya lagi, MTUC akan memperjuangkan hak pekerja tanpa rasa takut dan jemu dan mengadakan perhimpunan Hari Pekerja di hadapan Pejabat Wisma MTUC, Subang Jaya pada 14 Mei ini untuk menunjukan solidariti pekerja.
“Konsep bermesyuarah diterapkan dalam segala perkara dan mesyuarat Jawatankuasa Kerja dan Mesyuarat Majlis Am akan memutuskan segala keputusan.
“Keputusan Jawatankuasa Kerja dan Ahli Majlis AM adalah keputusan secara kolektif dan perlu dihormati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette