T129 Atak produk 100 peratus Turki yang mencuri tumpuan parasan serantau di Asia Pasifik

PANDANGAN segelintir pihak dalam industri pertahanan perlu melangkaui perolehan aset.

Potensi dalam industri pertahanan mampu memberi keuntungan bermula dari sumber manusia sehinggalah pengguna serta menjadi pemangkin kepada ekonomi negara.

Tiada yang mustahil sebenarnya. Apatah lagi ada negara seperti Turki yang sentiasa membuka pintu dan memberi peluang kepada Malaysia untuk berganding bersama-sama dalam memacu sektor pertahanan ini.

Presiden Turkish Defence Industries, (SSB) Profesor Dr, Ismail Demir semasa lawatan ke Ankara Turkiye baru-baru ini.

Hasrat itu dinyatakan sendiri oleh beberapa orang penting dalam industri pertahanan Turki semasa lawatan delegasi media Malaysia ke negara tersebut baru-baru ini.

Sebagai contoh, Presiden Turkish Aerospace Industries (TAI), Prof. Temel Kotil memberi jaminan untuk melahirkan lebih ramai pakar dan jurutera muda dalam bidang pembuatan pesawat jet pejuang di Malaysia pada masa depan.

Katanya, setakat ini, Turkish Aerospace menyediakan kursus kejuruteraan dalam bidang berkaitan kepada lebih 10 rakyat Malaysia selama dua bulan bermula April hingga Jun 2022.

Malah, Presiden Industri Pertahanan Turki (SSB), Prof. Dr. Ismail Demir berkata, pihak industri pertahanan negara itu mahu melibatkan jurutera dan juruteknik dalam projek pengeluaran Hurjet milik Malaysia suatu hari nanti sekiranya pembelian itu menjadi kenyataan.

Fasiliti pertahanan simulator pesawat yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Turkiye di Ankara

Beliau turut menjanjikan dalam tempoh 10 tahun, Malaysia akan dapat bersama-sama mengeluarkan pesawat tempur dengan Turki atau versi yang lebih maju dan ke hadapan daripada segi teknologi ketenteraan.

Selain Hurjet, Ismail turut mempelawa Malaysia untuk bekerjasama dalam pembangunan pesawat generasi kelima TF-X.

MISIL

Itu belum lagi bercerita tentang kesediaan syarikat pertahanan Aselsan di Turki untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi membangunkan misil sendiri selepas ketidaktentuan nasib dialami Taming Sari 98 di bawah program Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Stride) yang sehingga kini tidak menampakkan sebarang keberhasilannya yang diharapkan Malaysia.

Apabila saya mengamati tawaran yang dibuat ketika kunjungan di Turki, mereka benar-benar serius apabila ini bukanlah pertama kali Turki menyatakan hasratnya.

Paling menarik apabila presidennya sendiri, Recep Tayyip Erdogan membuka peluang ini ketika pentadbiran Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Turkish Aerospace memperkenalkan produk pertahanan mereka semasa lawatan media ke Ankara Turki baru-baru ini.

Paling penting, sekiranya tawaran itu menjadi realiti, rantaian beberapa sektor akan melonjak naik bermula daripada elektronik, mikroelektronik dan reka cipta serta pembuatan dalam industri pertahanan.

Rekod Turki agak baik dalam penghasilan aset pertahanan serba canggih dan maju ke hadapan sejak beberapa tahun lalu sekaligus memaksa seluruh negara dunia luar termasuk negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom dan Rusia terpegun dengan keupayaan Turki yang menghasilkan produk teknologi pertahanan tersendiri.

Suatu perkara menarik, penguasaan Turki dalam bidang pertahanan mengambil masa yang lama dan bukan dibuat dalam tempoh singkat seperti sains roket dalam semalaman.

Mereka begitu serius menumpukan sepenuh perhatiannya dalam Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Pertahanan menggunakan segala kepakaran sains yang ada dengan visi dan misi muncul sebagai pengeluar produk pertahanan sekaligus meletakkan ia dalam landasan terbaik ke arah muncul sebagai kuasa besar pertahanan dunia tidak lama lagi sekiranya pembangunan pesat ini kekal konsisten.

lawatan Fasiliti produk pertahanan Turkiye di Ankara oleh media Malaysia

Jadi, apakah rahsia kejayaan luar biasa yang menghenjutkan Turki yang boleh kita pelajari? Mereka tiada rahsia, cuma mereka mempunyai tekad yang kuat dan gerak kerja yang lebih tersusun disamping tahu ke mana hala tuju industri pertahanannya untuk beberapa dekad akan datang.

Justeru, Turki sangat serius meletakkan penanda aras tersendiri untuk mencapai kejayaan dalam penghasilan teknologi pertahanan setaraf dan juga jauh lebih baik daripada peneraju utama sektor pertahanan di dunia ketika ini.

Malah mereka sudah berjaya membuktikannya menerusi penghasilan beberapa produk pertahanan serba canggih antaranya, helikopter bertempur ala Apachi,  T129 Atak apabila helmet juruterbang diintegrasikan dengan senjata di muncung hadapan, pesawat radar tanpa Pemandu (UAV) Anka, jet pejuang Hurjet, dron taktikal pertempuran STM Kargu, kapal tentera laut, Misil, Kereta Kebal Altay, Satelit Komunikasi  Göktürk-2, jet pejuang lima generasi TF-X dan peluru berpandu balistik.

Kesemua kejayaan ini berjaya meletakkan negara itu sebagai pengeksport utama di kawasan serantau

Pesawat UAV Anka buatan Turki produk tercnggih pertahanan negara itu.

Sebelum melangkah lebih jauh, Turki menubuhkan satu badan yang merangka strategi untuk memenuhi keperluan pertahanan, seterusnya mewujudkan perusahaan dalam industri ini menerusi galakan kepada syarikat tempatan untuk bersama-sama terlibat iaitu SSB dan beberapa syarikat di bawahnya seperti Havelsan, Aselsan, Roketsan, STM dan Turkish Aerospace.

Apabila produk-produk yang memenuhi keperluan berjaya dibangunkan, Turki menjadi pelanggan utama dan ini sekali gus memastikan aliran tunai terus berjalan sama ada bagi tujuan pembangunan mahu pun penyelidikan teknologi pertahanan mereka.

Tahun demi tahun, produk yang dihasilkan mereka terus menunjukkan hasil memberangsangkan dari segi kelebihan teknologi pertahanannya dan Turki yang membuktikan keupayaan aset ketenteraan mereka di dalam negara sendiri seterusnya mula mengorak langkah mencari rakan untuk mengeksport produk mereka termasuklah Malaysia.

Turkish Aerospace memperkenalkan fasiliti dan produk pertahanan mereka semasa lawatan ke Ankara Turki.

Bayangkan hanya dalam tempoh kurang sedekad ini, daripada status sebagai sebuah negara yang membeli aset ketenteraan dari negara seperti Amerika Syarikat kini mencapai statusnya sebagai negara yang maju dengan pantas dalam penyelidikan pembangunan (R&D) pertahanan sehingga menjual produk ketenteraannya secara kukuh di rantau Asia Pasifik dan juga Asia.

Pembukaan ibu pejabat di Rantau Asia Pasifik secara kukuh termasuk juga di Asia antaranya di Cyberjaya terus membantu Turki mengecapi kecemerlangan dalam industri pertahanan dan ketenteraan.

Filipina muncul sebagai negara terkini di rantau Asia Tenggara yang telah menempah lebih 20 buah helikopter bertempur T129 Atak daripada Turki dan setakat ini dua buah telah siap dan diserahkan kepada negara tersebut.

T129 Atak produk 100 peratus Turki yang mencuri tumpuan parasan serantau di Asia Pasifik

Kejayaan dan keupayaan menguji kapal bertempur yang dibangunkan dan diserahkan kepada Tentera Laut Nasional Pakistan satu lagi bukti keupayaan dan keberkesanan aset pertahanan Turki di persada antarabangsa yang turut menarik perhatian serantau.

Lagi pun tawaran Turki kepada Malaysia bukan hanya sekadar pertukaran antara duit dan barang semata-mata sebaliknya lebih daripada itu termasuk tenaga pakar serta barangan komoditi.

Bidaan terbaharu Turki menerusi Turkish Aerospace yang mengemukakan bidaan membekalkan 18 Pesawat Tempur ringan (LCA) Hurjet kepada Tentera Udara Diraja Malaysia.

Profesor Temel Kotil menjelaskan mengenai produk terbaharunya pesawat tempur Hurjet di Ankara Turki.Foto MalaysiaGazette

Antara tawarannya adalah menjadikan Malaysia rakan strategik pengeluaran jet pejuang baharu, menyediakan pemindaan teknologi dan kesediaannya mengurangkan harga tawaran serendah 30 peratus demi mendapatkan tender terbuka TUDM untuk pesawat tentera itu.

Justeru, lebih menakjubkan mereka juga menyatakan rancangannya untuk mendirikan sebuah kilang khsusus pemasangan dan pembekalan pesawat tempur berkenaan di Malaysia dan terus dijadikan hub untuk pengeluaran produk ketenteraan itu ke rantau Asia kelak.

Justeru bagi mengelak masalah penyelenggaraan dan alat ganti yang sedang dihadapi terhadap aset-aset sedia ada, syarikat Turki berkenaan turut bersedia menawarkan khidmat penyelenggaran dan alat ganti untuk suatu tempoh agak panjang kepada Malaysia dalam soal pesawat tempur itu.

Dron tempur ‘Kamikaze’ Kargu serta Pesawat UAV – Anka juga antara produk ketenteraan terbaharu yang telah dibincangkan negara itu kepada Angkatan Tentera Malaysia sebagai potensi pelaburan masa depan menghadapi dunia pertahanan yang berkembang pesat dan pantas.

Sebarang keputusan sudah pasti perlu melibatkan banyak pertimbangan. Akan tetapi pertimbangan wajar dibuat berasaskan keperluan, matlamat faedah kepada kita, bukan hanya laba pihak tertentu.

Jangan nanti selepas berpuluh tahun, kita masih bercakap perkara yang sama dan semuanya bercerita tentang dasar di atas kertas semata-mata tanpa ada jalan kerja. – MalaysiaGazette