Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melawat tapak pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 24 OGOS 2024.

DALAM menghadapi era globalisasi dan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), negara-negara di seluruh dunia berlumba-lumba membina tenaga kerja yang bukan sahaja mahir, tetapi mampu mencipta nilai dalam ekosistem ekonomi berasaskan teknologi.

Dunia kini bergerak pantas ke arah automasi, kecerdasan buatan, dan penghasilan produk bernilai tinggi. Dalam konteks ini, sistem pendidikan dan latihan vokasional menjadi semakin kritikal. Namun, bukan semua negara berjaya mengangkat TVET sebagai arus perdana.

China, dalam hal ini, telah muncul sebagai sebuah negara contoh yang berjaya merevolusi pendidikan vokasionalnya bagi melahirkan tenaga produktif berkualiti baharu – pekerja mahir yang inovatif, teknikal dan bersedia menghadapi cabaran
masa hadapan.

Kejayaan China dalam pendidikan vokasional

Pendidikan vokasional di China tidak lagi dilihat sebagai laluan “kelas kedua”, tetapi sebagai satu landasan utama dalam pembinaan modal insan strategik. Kejayaan mereka bermula apabila sistem pendidikan vokasional diselaraskan dengan agenda
pembangunan ekonomi negara seperti “Made in China 2025” dan pelan “Dual Circulation”.

Dengan strategi ini, China meletakkan latihan kemahiran sebagai asas kepada penguasaan sektor-sektor industri utama seperti automotif pintar, teknologi tinggi, tenaga boleh diperbaharui, dan komunikasi digital.

Di samping itu, lebih 1,300 pangkalan kolaborasi antara industri dan institusi latihan diwujudkan. Syarikat gergasi seperti Huawei, Haier, dan BYD bukan sahaja menjadi pengguna tenaga kerja TVET, malah turut terlibat secara langsung dalam pembangunan kurikulum, latihan praktikal, dan penempatan pelajar. Pendekatan ini memastikan latihan yang diberikan adalah relevan, terkini, dan selari dengan keperluan industri sebenar.

Apa yang Malaysia boleh contohi dari China?

Malaysia mempunyai potensi besar dalam sektor TVET, namun masih berdepan beberapa cabaran utama seperti persepsi masyarakat, ketidakpadanan kemahiran, dan kekurangan hubungan erat antara institusi latihan dan industri.

Untuk mengangkat martabat TVET ke tahap yang lebih tinggi, beberapa pendekatan China boleh dijadikan rujukan:

• Penyelarasan Dasar dan Visi Nasional: China berjaya menggabungkan TVET ke dalam kerangka dasar ekonomi dan teknologi negara. Malaysia juga boleh mengintegrasikan TVET secara langsung dalam pelan pembangunan industri negara, seperti Dasar Automotif Nasional, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).

Kerjasama Erat dengan Industri: Latihan kemahiran mesti berdasarkan keperluan sebenar industri. Dengan memperkasakan hubungan antara syarikat tempatan dan institusi TVET melalui pendekatan “dual training system” atau latihan dua hala (belajar dan bekerja), pelatih akan lebih bersedia dari segi praktikal dan profesionalisme.

Pelaburan dalam Inovasi dan Infrastruktur Pembelajaran: TVET masa kini memerlukan makmal berteknologi tinggi, sistem pembelajaran digital, dan penggunaan AI serta simulasi. Malaysia perlu menambah pelaburan dalam aspek ini agar latihan yang diberikan setanding dengan negara-negara maju.

Pembangunan Tenaga Pengajar yang Kompeten: Guru dan pengajar TVET perlu diberi latihan berkala di industri, institusi luar negara, dan pusat teknologi supaya mereka tidak ketinggalan dalam aspek kandungan dan pendekatan pengajaran.

Laluan Modular dan Mobiliti Pendidikan: Malaysia boleh memperluas laluan fleksibel dari latihan vokasional ke peringkat profesional dan akademik agar pelatih tidak terperangkap dalam satu sistem sahaja. Ini akan meningkatkan motivasi dan jangka hayat kerjaya pelatih.

Meneladani kejayaan China, YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET) telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Malaysia-China Institute (MCI).

Penubuhan ini bukan sekadar simbol hubungan dua hala, tetapi sebagai satu game changer dalam landskap pembangunan TVET Malaysia. Ia merupakan strategi berani dan berpandangan jauh untuk menghubungkan sistem latihan Malaysia dengan ekosistem pendidikan dan industri China yang terbukti berjaya.

Fungsi MCI dalam pembangunan TVET Malaysia

MCI berperanan sebagai jambatan strategik antara institusi latihan di Malaysia dengan lebih 225 institusi TVET di China. Ini termasuk pemindahan teknologi, pertukaran pelatih, latihan pensyarah, pembangunan kurikulum bersama dan projek penyelidikan industri. MCI juga menjadi platform latihan bagi bidang-bidang masa depan seperti automotif pintar, pertanian moden, halal industri, tenaga bersih, dan kejuruteraan mekanisasi ladang.

Selain itu, MCI menyediakan ruang kepada belia Malaysia, terutamanya dari kumpulan B40 dan luar bandar, untuk mendapat latihan berkualiti tinggi di luar negara – satu peluang yang sebelum ini hanya dinikmati oleh pelajar akademik elit. Melalui MCI, pelatih-pelatih TVET dapat mengakses latihan industri di China, dan kembali sebagai tenaga kerja berpengetahuan tinggi yang mampu mengangkat daya saing Malaysia.

MCI juga sedang membangunkan sistem pengiktirafan bersama antara Malaysia dan China, supaya pelatih Malaysia yang menjalani latihan di China mendapat pengiktirafan rasmi dalam sistem pendidikan negara. Usaha ini penting untuk mewujudkan mobiliti serantau dan membuka pintu kepada kerjaya antarabangsa.

Dengan sokongan kerajaan, industri, dan komuniti, MCI sedang mencipta ekosistem TVET rentas sempadan – satu model latihan global untuk melahirkan tenaga kerja yang berdaya tahan, berfikiran antarabangsa, dan bersedia untuk masa depan.

Masa depan tenaga produktif bermula sekarang

Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada sistem latihan lama untuk mencipta masa depan baharu. Kita memerlukan pendekatan radikal dan strategik untuk melonjakkan pendidikan vokasional ke tahap antarabangsa.

MCI ialah lambang komitmen negara dalam menjayakan agenda ini. Ia membuka ruang kepada transformasi sebenar – bukan sahaja dalam cara kita melatih, tetapi bagaimana kita mentakrifkan semula maksud ‘berkemahiran’.

Dengan menjadikan China sebagai rakan strategik dan sumber inspirasi, Malaysia sedang mengorak langkah ke arah sistem TVET yang lebih futuristik, inklusif, dan berpaksikan produktiviti sebenar.

MCI bukan sekadar institusi, tetapi satu gerakan nasional untuk membina tenaga kerja yang akan memacu Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Penulis adalah Pengerusi Lembaga Penasihat Malaysia-China Institute

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast