Gambar hiasan

KENYATAAN Pemuda DAPSY berhubung sistem kemasukan universiti awam (UA), isu kuota, meritokrasi dan risiko penghijrahan pakar (brain drain) wajar diberi perhatian secara berhemah.

Pendidikan tinggi negara sememangnya memerlukan reformasi berterusan agar sistem yang dibangunkan sentiasa relevan, adil, dinamik serta mampu memenuhi aspirasi generasi muda.

Namun demikian, apabila kita membicarakan masa depan ribuan mahasiswa dan hala tuju strategik pendidikan tinggi negara, perbahasan hendaklah berpijak pada data dan bukti empirikal bukannya sekadar bersandarkan persepsi, andaian emosi atau eksploitasi retorik politik sempit.

Elak sangkaan melulu, kemukakan data

Antara persoalan utama yang timbul ialah dakwaan bahawa kelemahan sistem kemasukan UA dan kewujudan kuota boleh menyumbang kepada fenomena brain drain negara bagi tempoh 10, 20, malah 50 tahun akan datang. Dakwaan yang dikemukakan oleh pihak DAPSY ini adalah satu andaian yang amat besar dan menuntut pembuktian yang setara beratnya.

Persoalannya, berapa ramai pelajar yang benar-benar dinafikan tempat kerana sistem yang didakwa tidak adil ini? Berapa banyak kes konkrit yang boleh dikemukakan bagi menunjukkan bahawa pelajar berkelayakan telah dinafikan peluang secara tidak wajar?

Lebih penting lagi, apakah data empirikal atau kajian ilmiah yang membuktikan bahawa mekanisme kuota atau sistem kemasukan UA merupakan antara pemboleh ubah utama yang menyebabkan bakat terbaik Malaysia membuat keputusan untuk meninggalkan negara?

Jika ada data, bentangkan secara terbuka. Jika ada kajian, kemukakan untuk dinilai. Jika ada kes khusus, jelaskan secara berfakta. Ini bukan soal mempertahankan mana-mana pihak atau mengekalkan status quo, tetapi soal memastikan wacana pendidikan tinggi negara mencapai tahap yang lebih matang, bertanggungjawab dan berasaskan bukti.

Mengurus UA mengikut realiti, bukan simplistik

Pada masa yang sama, sistem kuota juga tidak wajar dilihat secara simplistik sebagai lawan atau musuh tradisi kepada meritokrasi. Pengurusan kemasukan ke UA adalah satu proses kompleks yang perlu mengambil kira pelbagai dimensi nasional, termasuklah merit akademik, kapasiti program, keperluan bidang strategik negara, keterangkuman sosial social inclusivity serta kemampuan kewangan institusi.

Universiti awam mempunyai kapasiti fizikal dan akademik yang terhad. Setiap penambahan tempat menuntut perancangan tenaga pengajar, kemudahan makmal, infrastruktur sokongan, proses akreditasi dan peruntukan kewangan yang besar.

Justeru, persoalan yang jauh lebih konstruktif untuk dibincangkan bukanlah sekadar sama ada wujud kuota atau tidak, sebaliknya sama ada mekanisme pengagihan tempat tersebut dijalankan secara telus, munasabah, berasaskan data serta memberikan peluang yang saksama kepada seluruh anak bangsa.

Brain drain Adalah Isu Ekosistem

Begitu juga dengan isu brain drain. Adalah tidak tepat dan agak dangkal jika fenomena penghijrahan bakat itu hanya dilihat menerusi pintu masuk universiti semata-mata.

Brain drain merupakan persoalan struktur yang jauh lebih kompleks dan berangkai. Ia berkait rapat dengan ekosistem pasca-pengajian merangkumi penawaran peluang pekerjaan, skala gaji dan ganjaran yang tidak kompetitif, laluan kemajuan kerjaya, ekosistem penyelidikan dan inovasi, mobiliti profesional, kualiti hidup serta kemampuan negara menyediakan persekitaran yang kondusif.

Seseorang graduan yang menerima pendidikan terbaik di dalam negara sekalipun tetap berpotensi untuk berhijrah jika ekosistem kerjaya tempatan selepas tamat pengajian kurang memenuhi aspirasi dan potensi sebenar mereka.

Maka, penyelesaian holistik kepada masalah brain drain bukannya semata-mata dengan merombak sistem kemasukan UA. Sebaliknya, kita perlu membina ekosistem negara yang mampan supaya bakat terbaik mahu kekal, mahu pulang dan mahu menyumbang kembali kepada tanah air. Ini adalah tanggungjawab bersama semua pihak, termasuk kumpulan politik seperti DAPSY.

KPT bantu mahasiswa secara berterusan

Dalam pada itu, usaha berterusan Kerajaan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membantu mahasiswa juga tidak wajar dipandang sebelah mata atau dinafikan kesannya.

Penawaran tajaan penuh kepada 27 pelajar cemerlang STPM, contohnya, harus dilihat sebagai satu bentuk intervensi khusus bagi memastikan bakat terbaik tidak terhalang oleh kekangan kewangan. Langkah ini bukannya bermaksud hanya 27 pelajar tersebut yang diberi perhatian oleh pihak kementerian.

Lebih luas daripada itu, mahasiswa hari ini mendepani tekanan kos sara hidup yang semakin kompleks iaitu daripada isu penginapan, makanan, pengangkutan, peranti digital hingga bahan pembelajaran. Maka, setiap usaha dan insentif yang dapat mengurangkan beban kewangan mahasiswa perlu terus diperkukuh dan diperluaskan secara bertahap.

Dalam hal ini, sebarang kritikan terhadap Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, hendaklah kekal pada aras dasar, wacana intelek dan penilaian prestasi, bukannya bertukar menjadi serangan peribadi. Kita boleh tidak bersetuju dengan sesuatu dasar dan menuntut reformasi. Namun, standard perbahasan mestilah kekal matang: kritikan perlu disokong data, manakala cadangan reformasi perlu disertai alternatif yang boleh dilaksanakan.

Reformasi bermula dengan langkah bersama

Reformasi sememangnya satu keperluan dalam pentadbiran. Namun, reformasi tidak bermaksud menafikan segala kebaikan yang telah dilaksanakan. Ia bermaksud memperbaiki kelemahan, memperkukuh kejayaan dan memastikan sistem pendidikan tinggi terus bergerak seiring dengan perubahan zaman.

Mahasiswa tidak memerlukan kita berlumba-lumba menjadi pihak yang paling lantang mendakwa memperjuangkan nasib mereka. Apa yang mereka perlukan ialah penyelesaian yang nyata dan berimpak tinggi.

Justeru, jika DAPSY mahukan reformasi pendidikan tinggi, ia wajar dialu-alukan. Tetapi marilah kita tingkatkan mutu perbahasan nasional dengan mengutamakan data bukan persepsi, kemukakan bukti bukan retorik, dan bawa penyelesaian bukan sekadar serangan politik.

 

Oleh,

Profesor Dr. Suriyani Muhamad

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa)

Menjalankan Fungsi Naib Canselor, Universiti Malaysia Terengganu

-MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here