Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali mengakui Parti Bumiputera Perkasa Malaysi (Putra) yang diketuainya turut serta dalam pertemuan tidak rasmi bersama veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah di Kota Bharu baru-baru ini.

Beliau mengalu-alukan kerjasama yang dinamakan Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan itu tetapi aspek penting seperti teras, piagam serta hala tuju gabungan itu perlu dijelaskan dahulu.

“Ya, wakil Putra ada turut serta dalam pertemuan itu tetapi kita perlu penjelasan mengenai beberapa aspek penting seperti teras, piagam serta hala tujunya.

“Hendak meruntuhkan ‘rumah buruk’ iaitu merampas kerajaan Kelantan dari Pas yang sudah tidak boleh diduduki wajar, tetapi perlu juga diteliti apa pula bentuk dan acuan ‘rumah baharu’ kelak supaya tidak sampai menggadai masa depan Islam dan Melayu,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataannya yang dipetik sebuah media semalam, yang dilaporkan berkata, ‘kelibat’ DAP tidak diperlukan dalam sebarang gabungan atau pakatan parti politik yang mahu bekerjasama menumbangkan kerajaan Pas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ini katanya, termasuk gabungan politik yang disebut-sebut bakal digerakkan Tengku Razaleigh atau Ku Li bersama Pakatan Harapan (PH) Kelantan selepas Aidilfitri kelak.

Ketika berkongsi pandangan itu beliau berkata, dalam PRU-14, ‘kelibat’ DAP menjadi antara punca PH ditolak rakyat Kelantan sehingga kalah teruk di negeri ini.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, sehingga kini beliau belum bertemu empat mata dengan Ku Li, begitu juga presiden parti lain.

Katanya, beliau kena bertemu dahulu termasuk dengan PKR kerana setakat ini, parti itu tidak pula disebut akan diajak bersama dalam gabungan berkenaan.

Mengenai DAP pula, tegasnya, parti itu tidak perlu bersama atau mengganggu gabungan itu di Kelantan sebaliknya memberi tumpuan di Pantai Barat.

“Kalau betul Ku Li ambil langkah ini untuk jatuhkan Pas demi rakyat Kelantan, saya kagum dengan beliau. Mungkin dia nak tarik UMNO sekali tetapi kalau gagal (tarik) bagaimana? ‘Tak rok’ (tidak cukup) kalau beliau seorang diri.

“Jadi masih banyak persoalan perlu dihuraikan, jangan hanya sekarang riuh-rendah bukan main lagi umpama terdengar bunyi guruh di langit, tetapi hujan tak tahu bila nak turun-turun, wallahu alam,” katanya. – MalaysiaGazette