V. Yilamaran. Foto MSDeaf

KUALA LUMPUR – Atlet karate pekak negara, V. Yilamaran berjaya menghadiahkan pingat pertama pada temasya Sukan Deaflympic ke-24 di Caxias do Sul, Brazil, semalam (awal pagi Selasa di Malaysia).

Atlet berusia 22 tahun itu berjaya merangkul perak menerusi acara kumite lelaki bawah 84 kilogram (kg) selepas tumpas kepada Makhno Oleksanr dari Ukraine pada aksi final.

Menurut Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Yilamaran berjaya mengatasi pesaing tuan rumah Sergio Garcia pada pusingan pertama, diikuti Avi Bokler dari Israel (suku akhir) dan Abdolghafour Ebhahim dari Iran (separuh akhir) dalam laluan ke final pada saingan yang disertai oleh wakil daripada 10 negara.

Ketua Kontinjen Negara Ong Shin Ruenn yang hadir menyaksikan perlawanan akhir itu berkata beliau amat berbangga dengan pencapaian Yilamaran memandangkan ia adalah penyertaan sulung atlet karate tersebut di Sukan Deaflympic.

“Dengan kenangan bersejarah pada hari pertama, kontinjen sukan pekak negara berpeluang menambah lagi jumlah kutipan pingat menerusi sukan lain iaitu badminton, basikal dan olahraga,” katanya menerusi Facebook MSDeaf.

Pada November tahun lepas, Yilamaran berjaya membawa pulang pingat gangsa pertama Malaysia pada Kejohanan Karate Pekak Dunia 2021 yang berlangsung di Tehran, Iran.

Mengikut laman sesawang rasmi Deaflympic, seramai 1,956 atlet dari 70 negara menyertai temasya kali ini yang bermula dari 1 hingga 15 Mei.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerusi hantaran di Facebook mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan Yilamaran.

“Syabas atlet karate pekak negara, Yilamaran menjadi wira negara! Saya amat berbangga dengan pencapaian Yilamaran kerana ini adalah penyertaan sulung atlet karate tersebut di Sukan Deaflympic dan berjaya meraih pingat Perak,” katanya. – MalaysiaGazette