Masidi Manjun

KOTA KINABALU – Jumlah kes baharu di Sabah dijangka bertambah selepas sambutan Aidilfitri dan Pesta Kaamatan berdasarkan maklumat daripada Kementerian Kesihatan (KKM), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Seri Masidi Manjun.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu bagaimanapun berkata, peningkatan kes COVID-19 tersebut boleh dikurangkan jika orang ramai mengamalkan sikap bertanggungjawab semasa menyambut kedua-dua perayaan berkenaan.

“Patuhi semua saranan KKM termasuk penggunaan pelitup muka walaupun tidak lagi mandatori di ruang terbuka. Data kajian dalam beberapa bulan ini menunjukkan majoriti kes baharu di Sabah berpunca daripada jangkitan sporadik.

“Atas sebab inilah kita amat menyarankan agar orang ramai terus menggunakan pelitup muka semasa berada di khalayak ramai seperti majlis-majlis sambutan dan perayaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata situasi COVID-19 di Sabah hari ini kekal terkawal dengan hanya 12 jangkitan baharu, susut dua kes berbanding angka semalam.

“Tidak ada jangkitan baharu dilaporkan di 22 daripada 27 daerah di Sabah sepanjang 24 jam lepas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast