KUALA TERENGGANU – Seorang kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki diserang ubur-ubur dalam kejadian berasingan di Pantai Bukit Keluang dekat Besut, Selasa lepas.

Kanak-kanak berusia lapan tahun dari Pasir Mas, Kelantan itu disengat pada 2.25 petang manakala lelaki berusia 32 tahun dari Johor pula mengalami nasib sama empat jam kemudian.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Besut, Kapten (PA) Ramlan Ros Wahid berkata, kedua-dua mangsa menunjukkan simptom kemerahan pada kulit yang terkena sengatan dan menerima rawatan awal daripada penyelamat pantai APM yang sedang bertugas di lokasi kejadian.

“Kanak-kanak perempuan itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan dibenarkan pulang untuk rawatan susulan di rumah. Lelaki berkenaan terpaksa dihantar ke Hospital Besut selepas mengalami sesak nafas akibat sengatan tersebut.

“Ini adalah kejadian pertama serangan ubur-ubur yang dilaporkan di Terengganu pada tahun ini, saya berharap pengunjung pantai akan lebih berwaspada ketika melakukan aktiviti di air,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, APM akan mempertingkat pemantauan di sekitar kawasan pantai Bukit Keluang dan berharap orang ramai segera membuat laporan sekiranya terjumpa ubur-ubur bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan. – Bernama

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast