MELAKA – Melaka menyasarkan kemasukan sekurang-kurangnya 62,000 pelancongan dari Indonesia melalui perkhidmatan Feri Dumai – Melaka yang kembali beroperasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Kota Laksamana bermula hari ini selepas Indonesia membuka sempadan maritimnya.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, beliau yakin sasaran itu tidak mustahil dicapai sekiranya jumlah perkhidmatan operasi feri berkenaan dapat ditingkatkan setiap hari berbanding tiga hari seminggu.

Menurutnya, ketika ini jadual feri Dumai ke Melaka dengan kapasiti feri seramai 280 penumpang setiap perkhidmatan ditawarkan pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu, manakala perkhidmatan Melaka ke Dumai pula pada Rabu, Jumaat dan Ahad.
“Kita jangkakan, dalam tiga bulan mendatang ini kalau boleh kita nak trip feri ini hari-hari, bukan lagi tiga kali seminggu dan kita akan buat all out (sehabis baik) untuk capai.
“Kerajaan negeri juga sudah ada persetujuan dengan Jabatan Imigresen Malaysia Melaka untuk beri laporan kemasukan pelancong ini secara mingguan berbanding dulu secara bulanan untuk dilihat kenaikan pelancong dalam tiga bulan pertama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan 175 penumpang perkhidmatan feri, Indomal Kingdom dari Dumai, Indonesia yang tiba di ICQS pada jam 12.20 tengah hari selepas dua tahun kompleks berkenaan tidak menerima kemasukan pelancong Indonesia susulan penutupan sempadan negara akibat pandemik Covid-19.
Ditanya apakah beliau yakin sasaran 1,960 pelancong Indonesia seminggu melalui feri dapat dicapai sekiranya ia beroperasi setiap hari dengan jumlah 280 penumpang setiap perkhidmatan, Muhammad Jailani berkata, beliau sentiasa meletakkan sasaran yang tinggi untuk dicapai.
“Dalam tiga bulan pertama ini kita akan promosi habis-habisan lepas tu kita lihat macam mana, tapi tahun ini berbaki tujuh bulan lagi sasaran kita adalah satu juta pelancong Indonesia masuk ke Melaka melalui semua pintu masuk.
“Saya akan usaha yang terbaik, macam dulu (2019), saya nak capai 20 juta pelancong, tapi tak dapat cuma dapat 18.7 juta, sebab itu saya selalu sasar tinggi sebab bila begitu kita akan kerja lebih keras untuk capai,” katanya. – MalaysiaGazette