Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam lingkungan RM6,100 hingga RM6,700 satu tan dan cenderung susut menjelang pengumuman laporan utama pada minggu depan.

Peniaga Minyak Sawit, David Ng berkata, jangkaan peningkatan stok simpanan dalam minggu-minggu akan datang akan terus memberi sokongan terhadap komoditi itu.

“Selain pengumuman data Lembaga Minyak Sawit Malaysia bagi April pada minggu depan, pasaran tempatan juga dijangka menyaksikan Indonesia menarik balik larangan eksport minyak sawitnya,” katanya kepada Bernama.

Pada minggu lepas, negara pengeluar utama minyak sawit dunia itu melaksanakan larangan eksport bagi semua bahan mentah berasaskan sawit seperti minyak masak, minyak mentah dan bertapis dalam usaha menurunkan harga minyak masak terbabit.

Dalam pada itu, kontrak niaga hadapan MSM diniagakan rendah dalam minggu dagangan singkat  pada minggu ini berikutan cuti panjang sempena hari Pekerja dan sambutan Aidilfitri.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, kontrak Mei 2022 turun RM625 kepada RM7,058 satu tan, Jun 2022 merosot RM812 kepada RM6,785 satu tan dan Julai 2022 berkurangan RM704 kepada RM6,400 satu tan.

Selain itu, Ogos 2022 turun RM600 kepada RM6,154 satu tan, September 2022 susut RM486 kepada RM6,033 satu tan manakala Oktober 2022 berkurangan RM417 kepada RM5,974 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 121,996 lot daripada 376,616 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka meningkat sedikit kepada 209,809 kontrak berbanding 206,333 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan susut RM580 kepada RM7,170 satu tan. – Bernama