Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Mana-mana doktor pelatih di Melaka yang berdepan situasi dibuli doktor senior sehingga menjatuhkan maruah mereka diminta melaporkan terus kepada Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Perkara itu dinyatakan Exco itu yang memberi jaminan akan melakukan sendiri siasatan sebelum mengambil tindakan tegas sekiranya disahkan benar berlaku.

Menurutnya, waktu housemanship officer (HO) ataupun doktor pelatih adalah saat paling penting dan amat kritikal untuk mengguna pakai ilmu di sekolah perubatan dan perlu diasimilasikan dengan pengalaman bekerja yang sebenar.

“Saya juga pernah menjadi doktor pelatih selama dua tahun di Hospital Ampang, Selangor dan merasai bagaimana perit untuk belajar dan menimba pengalaman menjadi seorang doktor.

“Walaupun perit tetapi tidak pernah sesekali senior, pegawai perubatan ataupun pakar membuli sehingga menjatuhkan maruah saya.

“Jadi jika ada mana-mana HO di Melaka yang mempunyai situasi dibuli begitu teruk sehingga menjatuhkan maruah, anda boleh maklumkan kepada saya secara terus untuk saya siasat sendiri dan ambil tindakan jika ia benar-benar berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, menjalani HO yang memerlukan bekerja dalam keadaan penuh tekanan bukanlah sesuatu yang mudah.

“Waktu bekerja yang panjang kerana kesusahan dan keperitan itulah yang akan menjadikan doktor-doktor ini berjaya.

“Tiada tindakan yang boleh dijadikan alasan memperlakukan doktor pelatih ini seperti tiada perasaan dan dibuli sehingga menjatuhkan maruah mereka.

“Amaran keras juga saya berikan pada mana-mana pegawai perubatan ataupun pakar yang sesuka hati membuli HO ini tanpa belas kasihan sebelum saya ambil tindakan,” katanya.

Tambahnya, mengajar dan melatih bukan lesen untuk membuli tanpa memikirkan perasaan doktor pelatih.

Semalam, media melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan sebuah pasukan bertindak (taskforce) bebas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) bulan lalu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pasukan berkenaan juga akan menyiasat dakwaan berlakunya budaya buli terhadap doktor pelatih yang berlaku di dalam hospital.

Selasa lalu, media melaporkan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, mengesahkan seorang doktor pelatih HPP ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Bagaimanapun, beliau berkata, polis tidak menolak akan mengklasifikasikan semula kes itu sekiranya menemui bukti baharu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast