PETALING JAYA – Istilah ‘hendak perang ikut Rafizi, runding ikut Saifuddin’ bukanlah gambaran atau kenyataan tepat untuk meraih undi ahli-ahli dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR bagi penggal 2022 hingga 2025.
Sebaliknya yang akan membuat keputusan sama ada hendak berperang atau berunding adalah kepimpinan tertinggi parti itu.
Itu antara kata-kata calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution kepada ahli-ahli dan penyokong parti itu hari ini.
Kata Saifuddin, hakikatnya kenyataan seperti itu tidak sesuai kerana rata-rata ahli juga amat memahami pemimpin mereka dalam parti dan siapakah yang layak menerajui jawatan nombor dua PKR.
“Runding kerana Saifuddin tidak berperang? Saya sudah lalui ‘peperangan’ sejak parti reformasi ini ditubuhkan malah dari saya dulu hingga kini untuk puluhan tahun ada dalam parti ini, tidak pernah ke mana-mana.
“Ada yang melompat, ada yang memilih untuk berehat dan sebagainya. Saifuddin ada sahaja di sini selama 23 tahun, dari pernah bergelar Menteri sehingga tidak ada apa-apa jawatan atau kuasa, Saifuddin setia dengan PKR. Saya tidak kejar jawatan ketika Langkah Sheraton.
“Perang atau runding, semuanya sudah saya lalui. Saya masih kekal di sini.
“Pada pandangan saya, sama ada kita hendak berperang atau berunding semuanya kepimpinan itu yang akan putuskan bukanlah mana-mana calon,” katanya disusuli tepukan gemuruh.
Saifuddin berkata demikian selepas hadir melancarkan Gagasan #KitaSemuaKeadilan bersama-sama Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang merupakan calon Naib Presiden PKR pada pemilihan kali ini.
Dalam pada itu, kata Saifuddin lagi, seandainya kesetiaan menjadi kriteria yang difikirkan layak untuk menerajui jawatan nombor dua parti itu, maka ahli mampu menilai siapakah Saifuddin.
Ketika disoal apakah tahap keyakinan untuk berdepan dengan Rafizi, Saifuddin menyifatkan ia sebagai ‘haqqul yaqin’.
“Saya bermula bila saya menawarkan diri (untuk jawatan Timbalan Presiden), itu bermula dengan keyakinan, yakin atau ‘haqqul yaqin’ dah,” katanya sambil ketawa.
Bagaimanapun Saifuddin menegaskan pemilihan jawatan Timbalan Presiden yang pernah ditandingi oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi pada 2018 dan menyaksikan episod ‘hitam’ tidak akan sesekali berulang.
Ini kerana jelas Saifuddin, persaingan kali ini ni disifatkan sebagai pertarungan keluarga yang penuh persahabatan dan keakraban.
“Persahabatan saya dan Rafizi tidak akan sesekali terjejas walau apa pun keputusannya kelak. Persaingan ini tak boleh mencarik persahabatan, atau tidak boleh meruntuhkan setiakawan.
“Saya sebut garis-garis itu maknanya saya tetap meraikan, dan mengiktiraf Rafizi (sebagai) sahabat saya. Dia mempunyai banyak kualiti, dan saya yakin pemilihan ini tidak akan mengulangi episod lepas,” tegasnya.
Selepas pemilihan PKR 2018, Rafizi yang kalah tipis dengan Mohamed Azmin bertindak menarik diri dari politik dan ‘berehat’ hanya muncul kembali beberapa bulan lepas manakala bekas Timbalan Presiden itu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Buat julung kalinya, pemilihan PKR diadakan secara hibrid iaitu secara fizikal dan dalam talian melalui aplikasi ADIL yang diperkenal pada 28 Feb lepas.
Proses pengundian bagi pemilih dalam talian ialah dari 18 hingga 20 Mei manakala secara fizikal pada 13 hingga 17 Mei.
Pengumuman rasmi calon yang memenangi jawatan MPP meliputi jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden akan diumumkan pada 26 Jun depan di Kongres Nasional Tahunan Keadilan, manakala bagi ketua wanita dan ketua AMK akan diumumkan pada 24 Jun, di kongres tahunan masing-masing. -MalaysiaGazette