KUALA LUMPUR – Aliran trafik di lebuh raya utama menghala ke Lembah Klang mengalami kesesakan susulan orang ramai mengambil peluang tol percuma di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) bermula tengah malam tadi hingga esok untuk pulang ke rumah masing-masing selepas cuti .Aidilfitri.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, setakat tengah hari ini, aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan ke arah Lembah Klang sesak di Sungai Petani Selatan ke Bertam, Permatang Pauh ke Perai dan Juru ke Bandar Cassia.
“Trafik sesak sepanjang 10 kilometer di Changkat Jering ke Kuala Kangsar, Bukit Merah ke Taiping, Sungai Perak ke Terowong Menora, Ipoh ke Simpang Pulai, kawasan mendaki di Gua Tempurung ke Tapah, Kawasan Rehat dan Rawat Tapah ke Bidor, Ladang Bikam ke Sungkai dan Bukit Beruntung ke Rawang,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya lagi, bagi aliran trafik dari Pantai Timur, kesesakan dilaporkan berlaku di Karak menuju ke Bukit Tinggi dan dari arah selatan trafik sesak dari Skudai ke Kulai, Yong Peng ke Pagoh dan Kawasan Rehat dan Rawat Senawang ke Port Dickson.
“Aliran trafik keluar dari Lembah Klang di lebuh raya utama semua berada dalam keadaan terkawal,” katanya. – Bernama