KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menangguhkan sebarang perubahan dasar fiskal negara yang boleh memberi tekanan kos dan melemahkan sentimen perniagaan yang akhirnya membebankan pengguna dalam mendepani kenaikan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perubahan dasar fiskal yang wajar ditangguhkan itu termasuk pelarasan subsidi petrol RON95 yang dirancang dilaksanakan pertengahan tahun ini.
Selain itu, Hamzah (PN-Larut) turut menyarankan kerajaan menangguhkan kenaikan tarif elektrik serta peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang juga akan dilaksanakan Jun ini.
“Dan akhirnya, saya memohon kerajaan dalam hasrat membeli sebanyak 30 buah pesawat Boeing, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, jika kita boleh tangguh maka kita tangguhkanlah dulu,” katanya dalam perbahasan sidang khas berkenaan tarif timbal balik AS di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang khas itu berkata, antara ikhtiar yang telah diusahakan bagi menambah baik hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan AS bagi mendepani isu tarif timbal balik termasuk pembelian atau pengimportan strategik dari negara berkenaan.
Sebagai contoh, kata Anwar (PH-Tambun) termasuk tempahan 30 pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) dengan opsyen untuk 30 pesawat tambahan telah diputuskan tahun lalu dan dimeterai baru-baru ini.
Jelas Anwar yang juga Menteri Kewanngan, usaha menambah dan menyegerakan pembelian pesawat Boeing itu bakal mengukuhkan industri pelancongan negara melalui peningkatan kapasiti MAG.
Sementara itu, Hamzah turut mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan jawatankuasa kaukus yang dibarisi oleh ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang bagi membincangkan mengenai isu tarif timbal balik AS tersebut.
Menurutnya, ia bagi membolehkan ahli Parlimen pembangkang turut memberi cadangan berhubung isu tersebut selain memastikan sebarang keputusan mengenainya dibuat dengan telus.
“Sebab seperti diumumkan Tambun (Anwar) tadi, ada perkara-perkara (dalam perbincangan dengan AS) yang tidak boleh dibincangkan di sini kerana ada Non-Disclosure Agreement (NDA).
“Jadi jika ada jawatankuasa kaukus, maka sudah tentu pembangkang dapat memberikan cadangan dan membawa pandangan kami untuk dibincangkan bersama-sama,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Anwar memaklumkan segala perbincangan dengan AS berhubung isu tarif timbal balik yang sedang berjalan tertakluk kepada NDA selaras dengan amalan antarabangsa apabila isu rundingan melibatkan kepentingan strategik dan sensitif.
Jelas Anwar, sekiranya ada cadangan dasar yang memerlukan kelulusan, ia akan melalui proses semakan menyeluruh termasuk di peringkat Kabinet dan, jika perlu, dibentangkan kepada Parlimen.
Sementara itu, ketika mencelah berkenaan isu sama, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mencadangkan supaya jawatankuasa kaukus tersebut turut melibatkan wakil-wakil daripada kerajaan negeri.
Ini kerana, kata bekas Menteri Undang-Undang berkenaan, beberapa buah negeri seperti Kedah dan Kelantan juga terlibat dalam kegiatan perdagangan dengan AS sama ada secara langsung atau tidak langsung. – MalaysiaGazette
















