Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022 di Laman Sari Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 08 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2022, di Seri Perdana di sini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka di Seri Perdana pada kira-kira 11.30 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Al-Sultan Abdullah kemudiannya diiringi ke bilik santapan khas untuk bersantap juadah tradisi ala desa.

Majlis dengan tema Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri itu merupakan rumah terbuka pertama dihoskan Datuk Seri Ismail Sabri selepas dilantik sebagai perdana menteri pada 20 Ogos 2021 dan barisan Kabinet beliau.

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri sudah dua tahun tidak dapat diadakan kerana pandemik Covid-19.

Kali terakhir ia diadakan adalah pada 5 Jun 2019 di Seri Perdana dan dihoskan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast