PUTRAJAYA – Kehadiran tetamu yang mengunjungi Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet di Laman Sari, Seri Perdana Perdana hari ini mendapat sambutan luar jangkaan.
Sejak dari pukul 6 pagi lagi orang ramai sudah berpusu-pusu menunggu di pintu utama walaupun majlis berkenaan bermula jam 9.30 pagi.
Keterujaan itu digambarkan Menteri-Menteri Kabinet yang hadir apabila menyifatkan ia satu rahmat besar buat Keluarga Malaysia selepas perayaan terbesar itu tidak diraikan dengan meriah dua tahun berturut-turut.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, keputusan kerajaan memberi kelonggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) pada awal bulan lepas memberi peluang kepada masyarakat pelbagai kaum di negara ini menyambut Aidilfitri sebagaimana diraikan sebelum ini.
Katanya, ada pengunjung yang ditemui telah mula menunggu sejak pukul 5 pagi dan mereka bukan sahaja datang untuk meraikan Aidilfitri tetapi mahu bertemu dengan perdana menteri dengan lebih dekat.
“Alhamdullilah saya tengok sambutan sangat menggalakkan…dan tadi saya beramah mesra dengan pengunjung, bila saya tanya dari mana, rata-rata datang dari luar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
“Bila saya tanya jam berapa sampai, ada yang sampai seawal jam lima pagi mereka solat dan tunggu…ada satu keluarga Cina beratur sejak enam pagi untuk sama-sama menyambut rumah terbuka perdana menteri dan Kabinet pagi ini. Saya nak ucapkan ribuan terima kasih bagi pihak barisan Kabinet pada hari ini,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kehadiran ramai pengunjung merupakan satu perkara yang sememangnya dijangkakan.
Katanya, ia merupakan satu perkara yang baik dan ini menunjukkan rakyat mahu sebuah negara yang bersatu padu.
“Lebih-lebih lagi cuaca pun baik dan orang ramai nak tahu rumah perdana menteri.
“Yang menariknya pengunjung begitu ramai dan mereka daripada pelbagai etnik jadi semua kaum ada dan orang asing pun ada…ini petanda yang baik untuk negara.
“Jadi, itulah uniknya antara pengamatan saya sambutan amat luar biasa…Insyallah perpaduan ini akan berkekalan sampai bila-bila di Malaysia,” ujarnya.
Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Laman Sari di Seri Perdana hari ini dijangka dihadiri lebih 70,000 pengunjung.
Ia dibuka kepada orang ramai bermula pukul 9.30 pagi hingga pukul 4 petang. – MalaysiaGazette