KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPRP) yang mengukur purata perubahan harga perkhidmatan dikenakan oleh industri perkhidmatan tempatan di Malaysia meningkat 0.6 peratus untuk suku tahun pertama 2022 kepada 110.9 berbanding 110.2 pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ini didorong terutamanya oleh indeks penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman (2.1%) dan kesenian, hiburan & rekreasi (1.2%), menurut Jabatan Perangkaan.

Kenaikan bagi indeks restoran & aktiviti perkhidmatan makanan bergerak (2.6%) mendorong kepada kenaikan indeks penginapan dan perkhidmatan makanan & minuman.

Seterusnya, kenaikan harga bahan mentah seperti ayam dan telur, sedikit sebanyak telah menaikan harga dalam perkhidmatan makanan & minuman.

Bagi subsektor kesenian, hiburan & rekreasi, kenaikan ini didorong terutamanya oleh harga yang lebih tinggi bagi aktiviti hiburan dan rekreasi lain (1.5%).

Subsektor lain yang merekodkan kenaikan adalah pendidikan (0.6%) dan pengangkutan (0.3%), manakala aktiviti hartanah, profesional dan kesihatan masing-masing meningkat 0.2 peratus.

Bagaimanapun, indeks maklumat & komunikasi kekal tidak berubah.

Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, IHPRP meningkat kepada 0.2 peratus disumbangkan oleh subsektor kesenian, hiburan & rekreasi (2.5%), penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & mMinuman (1.0%) dan pendidikan (0.5%).

Kenaikan dalam subsektor kesenian, hiburan & rekreasi disumbangkan terutamanya oleh aktiviti perjudian dan pertaruhan yang meningkat sebanyak 2.9 peratus.

Indeks bagi subsektor profesional dan kesihatan masing-masing mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 0.1 peratus.

Tetapi indeks bagi pengangkutan menurun sebanyak 0.9 peratus disebabkan oleh penurunan bagi pengangkutan penumpang udara (-4.5%), manakala indeks bagi subsektor maklumat & komunikasi dan aktiviti hartanah kekal tidak berubah. – MalaysiaGazette