KUALA LUMPUR – Umat Islam di seluruh dunia diseru supaya bersiap sedia melindungi Masjid Al-Aqsa dengan bertindak balas terhadap regim Yahudi dan tentera zionis sekiranya mereka sekali lagi melakukan pencerobohan.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, umat Islam perlu sedar rancangan zionis mengadakan serangan besar-besaran adalah untuk mengusir semua jemaah dan mengepung masjid berkenaan dengan alasan keselamatan.
Dengan cara tersebut, ia memudahkan penerokaan Yahudi ke halaman rumah ibadat orang Islam itu.
Katanya, tindakan provokasi itu akan mencetuskan tindak balas daripada para jemaah dan alasan itu akan diguna oleh zionis untuk melakukan serangan besar-besaran oleh tentera Israel.
“Kami dengan tegas bersolidariti membantah pencerobohan Al Aqsa dan menyeru OIC (Pertubuhan Negara-negara Islam) untuk bertindak menghentikan pencabulan kesucian masjid Al Aqsa.
“Kami memberi amaran kepada semua pemimpin Islam jika mereka tidak bertindak bermakna mereka tunduk kepada pencerobohan Israel dan pertumpahan darah seterusnya merupakan tanggungjawab mereka kerana tidak melindungi Masjid Al Aqsa,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu Mohd Azmi berkata, lebih 600 pendatang haram zionis telah menyerbu Masjid Al-Aqsa di bawah perlindungan tentera pendudukan Israel.
Kata beliau, pihaknya menjangkakan, dengan serangan yang dilakukan pada bulan Ramadan baru-baru ini, ia dianggap sebagai permulaan kepada pencerobohan yang lebih besar.
Ujarnya, Zionis akan terus berkeras untuk menegakkan tuntutan palsu mereka ke atas Al Aqsa dan mereka berani untuk bertempur secara langsung dengan jemaah di masjid daripada pengalaman mereka di Masjid Ibrahimi di Hebron. – MalaysiaGazette