Ibrahim bersama Ahli Dewat Tertinggi dan kepimpinan tiga sayap Putra di majlis bacaan Yaasin dan tahlil di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) telah menginjak usia tiga tahun penubuhannya, semalam bukan parti pilihan raya semata-mata.

Sebaliknya parti itu ditubuhkan sebagai suara Melayu pribumi dan Islam bertunjangkan asas Perlembagaan Negara, kata presidennya, Datuk Ibrahim Ali.

Kata beliau, tugas Putra adalah mempertahan dan memperkasakan agenda bangsa serta Islam tanpa bertolak ansur.

”Kalah menang bertanding pada pilihan raya umum atau kecil bukan persoalan utama penubuhannya. Putra adalah suara Melayu pribumi dan Islam yang bertunjangkan asas Perlembagaan Negara.

”Putra tidak akan menjual bangsa dan Islam untuk meraih undi. Putra tidak akan menjadi parti hipokrit dan munafik. Malah, Putra bukan parti menang sorak kampung tergadai.

“Kepimpinan bersih dan bermoral adalah tunjang perjuangan Putra,” katanya dalam majlis bacaan Yaasin dan tahlil yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, di sini, malam tadi.

Putra dilancarkan pada 28 September 2019 di Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan membawa agenda menjaga kepentingan umat Islam dan Melayu, di samping mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Ibrahim, Putra sudah menongkah arus selama tiga tahun ini dan parti yang cekal sahaja mampu mengalas perjuangan dengan semangat pergorbanan luar biasa.

Katanya, Putra juga bukan parti yang dilahirkan oleh bekas perdana mMenteri, bekas timbalan pPerdana menteri dan bekas menteri, bukan juga lahir dari serpihan parti yang berebut kuasa atau yang kalah serta kecewa dengan parti asal mereka.

“Sebaliknya, Putra dilahirkan oleh insan biasa yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan dan kais pagi makan pagi, namun semangat juangnya tetap cekal.

“Dalam usia tiga tahun, Putra umpama masih di peringkat tadika. Ibarat rumah atau kapal yang masih dalam pembinaan, tetapi sudah diduduki dan sudah belayar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast