PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia percaya 60 tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang masih bebas dan dipercayai dilindungi komuniti itu di negara ini.
“Masih ada 60 orang etnik Rohingya masih bebas dan mereka dipercayai bersembunyi dalam komuniti mereka mungkin di Pulau Pinang dan Selayang dan Kuala Lumpur,” kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Beliau memberi amaran, mana-mana individu yang memberi perlindungan mahupun menyembunyikan tahanan etnik Rohingya boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun.
Ini kerana etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, Pulau Pinang dikategorikan sebagai pendatang asing tanpa izin (Pati).
“Mereka ini (Rohingya) dianggap sebagai melindungi PATI dan melindungi PATI boleh dikenakan hukuman denda dan penjara.
“Denda tidak kurang RM5,000 dan penjara antara satu hingga lima tahun di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1956/1963,” katanya pada sidang media di Menara Ikhlas, di sini, hari ini. – MalaysiaGazette