Bekalan sayur di Melaka terutamanya jenis berdaun didakwa naik mendadak termasuk ada sehingga lebih 60 peratus sekilogram sejak Jumaat lalu.

MELAKA – Bekalan sayur di negeri ini terutamanya jenis berdaun didakwa naik mendadak sehingga lebih 60 peratus sekilogram sejak Jumaat lalu.

Tinjauan MalaysiaGazette di Pasar Awam di Bachang di sini mendapati kebanyakan peniaga mendakwa kenaikan itu mungkin berpunca daripada kekurangan bekalan selepas cuti umum Aidilfitri akhir April sehingga awal Mei lalu.

Peniaga, Kalsom Kassim, 60, berkata, kenaikan paling ketara adalah apabila dia kini terpaksa menjual sayur sawi bunga pada harga RM10 sekilogram, berbanding sebelum ini hanya RM6 sekaligus menyaksikan kenaikan 66 peratus.

“Sejak Jumaat lalu, bekalan sayur daun di pasar ini hampir tak ada. Macam sayur sawi bunga, sawi biasa, kangkung dan bayam memang susah sangat nak dapat kecuali kalau beli harga yang tinggi daripada pembekal.

“Paling tinggi naik adalah sayur sawi bunga sehingga saya terpaksa jual RM10 sekilogram berbanding dulu cuma RM6 sekilogram sebab kos beli dari pembekal pun mencecah RM8,” katanya.

Kalsom Kassim

Tambahnya, sayur lain yang menyaksikan kenaikan adalah kangkung pada harga RM5 sekilogram selain baby bayam dan sawi biasa RM7 sekilogram berbanding RM4 sebelum ini.

Roslan Hassan, 55, pula berkata, kenaikan mendadak harga sayur daun sejak minggu lalu menyebabkan dia terpaksa memilih sayur tertentu sahaja kerana takut ianya rosak kerana tidak dibeli pelanggan.

“Kena pilih-pilih sayur yang naik tak begitu tinggi baru kami jual. Macam sawi bunga memang tak berani ambil kerana kenaikan harganya agak tinggi sehingga RM4 takut pelanggan marah dan tidak beli.

“Bila saya tanya pembekal apa puncanya, mereka kata bekalan sayur daun kurang sebab hujan dan tanaman tidak menjadi,” katanya

Peniaga, K Kumar, 42, pula memberitahu, bekalan bayam daripada pembekal naik RM2, iaitu RM5 sehingga RM5.50 berbanding hanya sekitar RM3 sehingga RM3.50 sebelum ini.

“Akibatnya, bila sudah tiada pelanggan tu, kadang-kadang saya terpaksa jual harga kos sahaja tanpa sebarang keuntungan untuk mengelakkan kerugian bila kurang pembeli,” katanya. – MalaysiaGazette