KUALA LUMPUR – Ekonomi yang bebas, global dan berorentasikan pasaran adalah kunci utama kepada kemajuan radikal ekonomi Johor.
Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, realitinya Johor berada dalam kedudukan yang unik dan nadi ekonominya sangat bergantung kepada aktiviti rentas sempadan.
Ekonomi rentas sempadan telah menjadi ciri penting kepada kemajuan dan pertumbuhan ekonomi Johor selama ini.
Menurutnya, kita boleh melihat betapa sukarnya ekonomi Johor untuk berfungsi apabila terhentinya pergerakan di sempadan Johor-Singapura semasa pandemik.
”Kebolehsaingan Johor secara realistiknya sangat bergantung kepada kecergasan ekonomi Singapura. Justeru, masa depan Johor mesti disandarkan kepada globalisasi dan hubungan ekonomi serantau.
”Kerana itu, rencana ekonomi Johor mesti beroretasikan strategi bahawa Johor-Singapura adalah daerah geografi yang terangkum dan terhubung serta saling memerlukan
”Kita mesti hidup dengan realiti globalisasi, kebergantungan dan menyokong satu sama lain demi Johor yang terbaik,” katanya di sini.
Sebelum ini, Datuk Hasni Mohammad berkata, Malaysia dan Johor khususnya, perlu secara agresif memberi tumpuan meningkatkan gaji dan peluang pekerjaan secara holistik dalam usaha menghentikan aliran migrasi pekerja-pekerja tempatan ke Singapura yang menyaksikan peningkatan sejak beberapa tahun lalu.
Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, sebab utama penghijrahan ini ialah “gaji dan faedah yang kurang menarik” yang ditawarkan di Malaysia, kekurangan prospek kerjaya, dan ketiadaan peluang dalam bidang tertentu.
Berdasarkan data, bilangan pendatang Malaysia ke Singapura telah meningkat daripada 195,072 pada 1990 kepada 952,261 pada 2019.
Menurutnya, Singapura menjadi pilihan utama bagi pendatang dari Johor dan Malaysia kerana kedudukannya dari segi geografi dan budaya, serta infrastruktur dan ekonomi republik itu yang lebih maju secara keseluruhannya.
Khaled menambah, tarikan kekuatan matawang Singapura akan terus menjadi faktor penarik utama.
“Tetapi jangan lupa, mereka yang menerima upah dalam dollar Singapura inilah yang membeli rumah di Johor, berbelanja di pelbagai mall di JB dan menyokong pelbagai sector ekonomi Johor.
”Malah mereka yang bekerja di Singapura juga berpeluang meningkatkan kemahiran, menjadikan mereka pekerja yang sangat bermutu dan mempunyai kompetensi yang tinggi,” ujarnya sambil menambah biarlah pasaran yang menentukan cara gaya pekerjaan dan potensi pekerja Johor.
Malah, biarlah pekerja itu juga menentukan apa yang terbaik untuk masa depan mereka, samaa ada bekerja di Singapura atau Johor Bahru.
Tambah beliau, projek seperti Projek Rapid Transit System (RTS) akan merancakkan lagi aktviti rentas sempadan yang akhirnya akan menjadikan mobiliti tenaga mahir Malaysia-Singapura menjadi lebih ‘seemless’.
Semua ini akhirnya, dalam jangka masa panjang, menjadikan Johor itu ‘another economic powerhouse’ (kuasa ekonomi lain) dengan perolehan sinergi daripada kecergasan ekonomi Singapura. – MalaysiaGazette
Migrasi pekerja tempatan ke Singapura perlu dihentikan – Hasni