Hasni Mohammad

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Johor khususnya, perlu secara agresif memberi tumpuan meningkatkan gaji dan peluang pekerjaan secara holistik dalam usaha menghentikan aliran migrasi pekerja-pekerja tempatan ke Singapura yang menyaksikan peningkatan sejak beberapa tahun lalu.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, sebab utama penghijrahan ini ialah “gaji dan faedah yang kurang menarik” yang ditawarkan di Malaysia, kekurangan prospek kerjaya, dan ketiadaan peluang dalam bidang tertentu.

Berdasarkan data, bilangan pendatang Malaysia ke Singapura telah meningkat daripada 195,072 pada 1990 kepada 952,261 pada 2019.

Menurutnya, Singapura menjadi pilihan utama bagi pendatang dari Johor dan Malaysia kerana kedudukannya dari segi geografi dan budaya, serta infrastruktur dan ekonomi republik itu yang lebih maju secara keseluruhannya.

Lantaran itu, Hasni mencadangkan kerajaan memberi penumpuan kepada tujuh elemen untuk meningkatkan gaji dan peluang pekerjaan dengan melaksanakan dasar yang menarik pelaburan berkualiti tinggi untuk meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia dan terus meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dan daya saing perniagaan.

Selain itu, mengurangkan pergantungan berat kepada buruh asing berkemahiran rendah, yang memesongkan gaji keseluruhan, melonjakkan produktiviti pekerja melalui pembangunan modal insan yang dipertingkatkan dan peningkatan diri melalui peluang kemahiran semula dan peningkatan kemahiran.

Meningkatkan infrastruktur, termasuk akses dan kualiti pengangkutan awam dan mmpercepatkan pembaharuan politik dan Institusi untuk kestabilan politik dan ekonomi serta kemampanan dasar.

Kata Hasni, usaha ini boleh dilakukan melalui kerjasama yang lebih baik dan koheren antara koridor ekonomi di Johor seperti Iskandar Malaysia (IM), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), dan juga Zon Ekonomi Khas Pagoh (PSEZ). – MalaysiaGazette