Teresa Kok. Foto MUHD NA'IM, 10 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Lima dokumen diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang didedahkan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dalam kes saman fitnah Teresa Kok tidak membuktikan Ahli Parlimen Seputeh itu bersalah.

Bekas Menteri Perusahaan Utama itu berkata, walaupun dokumen OSA digunakan Jamal dalam kes saman RM1 juta itu namun perbicaraan kes iakan tetap akan diteruskan pada Jun ini.

“Bagi saya, bagi seorang buat tohmahan yang bukan-bukan, dia boleh dapat dokumen rasmi, sebenarnya dalam fail dokumen-dokumen yang saya senaraikan itu, ia tidak akan buktikan saya bersalah.

“(Malah) pihak peguam saya telah tulis surat kepada Perbendaharaan Negeri Selangor dan mereka telah mengesahkan dokumen itu adalah sulit.

“Sekarang kes ini di mahkamah akan ada pendengaran pada bulan depan (Jun),” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini.

Antara dokumen OSA itu ialah Minit Mesyuarat Penyelarasan Sistem Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Bilangan 4 tahun 2016, dua laporan status penghantaran buku tunai bagi setiap DUN, penghantaran penyata penyesuaian bank Pejabat Daerah 2016, Minit mesyuarat penyelarasan sistem SMUE Bilangan 2 tahun 2016 dan maklum balas mesyuarat penyelarasan sistem SMUE Bilangan 1 Tahun 2016.

Pada 6 April 2017, Teresa memfailkan saman fitnah RM1 juta terhadap Jamal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia susulan dakwaan Jamal bahawa pemimpin DAP itu menyalahgunakan dana SMUE berjumlah RM2 juta yang di bawah pentadbiran Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Selain ganti rugi am, beliau turut menuntut ganti rugi teruk dan teladan, selain injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah itu dalam apa jua bentuk. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis perlu siasat Jamal peroleh dokumen OSA – Teresa Kok