Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok bersama peguamnya, Edmund Teoh pada sidang media selepas membuat laporan polis terhadap kes Jamal Md Yunos terhadap Skim Mesra Usia Emas Bil 4 Tahun 2016 di Ibu Pejabat Polis Sentul, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 10 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendesak pihak polis menyiasat Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos kerana didakwa mendedahkan dokumen milik Kerajaan Negeri Selangor yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Teresa menegaskan, dokumen itu tidak sepatutnya didedahkan kepada umum, apatah lagi dijadikan sebagai dokumen untuk mengetepikan perbicaraan kes fitnah terhadap Jamal yang masih berjalan di mahkamah.

“Mana dia (Jamal) dapat ini (dokumen OSA) saya juga berharap Kerajaan Negeri Selangor mereka juga patut siasat.

“Bagaimana dokumen OSA boleh bocor macam itu sahaja. Dia (Jamal) nak buat kacau saja, tapi di mana dia dapat dokumen ini.

“Saya sebenarnya nak polis siasat dimanakah beliau dapat dokumen OSA,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.

Antara dokumen OSA itu ialah Minit Mesyuarat Penyelarasan Sistem Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Bilangan 4 tahun 2016, dua laporan status penghantaran buku tunai bagi setiap DUN, penghantaran penyata penyesuaian bank Pejabat Daerah 2016, Minit mesyuarat penyelarasan sistem SMUE Bilangan 2 tahun 2016 dan maklum balas mesyuarat penyelarasan sistem SMUE Bilangan 1 Tahun 2016.

Pada 6 April 2017, bekas Menteri Perusahaan Utama itu memfailkan saman fitnah RM1 juta terhadap Jamal di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia susulan dakwaan Jamal bahawa pemimpin DAP itu menyalahgunakan dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang di bawah pentadbiran Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Selain ganti rugi am, beliau turut menuntut ganti rugi teruk dan teladan, selain injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah itu dalam apa jua bentuk.

Dalam perkara sama, Teresa melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pihak polis kerana mengklasifikasikan laporan polis yang dibuatnya mengenai pendedahan dokumen OSA di Balai Polis Sri Petaling pada 7 Mei 2022 sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

“Saya juga tidak puas hati di mana saya buat laporan polis di Balai Polis Sri Petaling pada 7 Mei 2022.

“Selepas itu mereka (polis) kata saya perlu beri keterangan dekat sini (IPD Sentul) kerana dokumen OSA ini didapati di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

“Sebelum saya beri keterangan, polis telah hantar surat kepada saya di mana siasatan awal dijalankan ke atas laporan saya dan didapati kesalahan di bawah Seksyen NFA Sementara telah berlaku.

“Pihak polis mengatakan siasatan juga mendapati tiada petunjuk untuk membolehkan satu siasatan yang berhasil.

“Tiada siasatan lanjut diteruskan seperti mana diperuntukkan undang-undang di bawah Seksyen 110(a)&(b) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya ketika membacakan keputusan laporan polis yang dikeluarkan IPD Sentul, baru-baru ini.

Katanya lagi, pihak polis sepatutnya mengambil keterangan beliau terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan terhadap laporan polisnya berkenaan pendedahan dokumen OSA yang dibuat Jamal.

“Sebelum saya beri keterangan kepada polis, polis telah tulis surat e-mel kepada saya dan kata NFA.

“Sepatutnya polis dapatkan maklumat terperinci daripada saya, tapi dia tidak buat dan kata kepada saya NFA.

“Namun pihak polis minta saya datang (IPD Sentul) bagi keterangan dan mereka akan buat kertas siasatan.

“Ini sesuatu yang sangat salah, kalau semua laporan yang kita adu kepada polis, secara terus dikatakan NFA, jadi buat siasatan apa,” katanya. – MalaysiaGazette