Superintendan Kamarulzaman Jusoh @ Mohamad Daud

KUANTAN – Sebanyak 15 kematian dilaporkan di Pahang pada Op Selamat 18 untuk tempoh 10 hari antara 29 April sehingga 8 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, sebanyak 850 kemalangan dilaporkan berbanding 881 kemalangan dalam Op Selamat 15 yang dijalankan pada 2 Jun hingga 11 Jun 2019.

“Jumlah kemalangan dilaporkan menurun sebanyak 31 kes bersamaan 3.5 peratus dalam tempoh pelaksanaan Op 18 jika di bandingkan pada Op 15 dahulu,” katanya.

Bertemakan ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’ Op Selamat 18 peringkat negeri Pahang dilancarkan pada 28 April lalu di Tol Plaza Bentong oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

Sementara itu, Kamarulzaman memberitahu, sebanyak 18,839 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan kepada pengguna jalan raya di Pahang sepanjang Op Selamat pada kali ini berbanding 6,292 saman pada Op Selamat 15, naik 50.1 peratus.

Tambah beliau, selain itu sebanyak 27 tangkapan telah dilakukan terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan sepanjang 10 hari operasi tersebut dilaksanakan.

“Antara kesalahan melibatkan memandu di bawah pengaruh alkohol dan memandu, menunggang secara melulu serta berbahaya. Selain itu mereka turut ditahan kerana menggunakan nombor plat palsu dan memiliki ketum ketika pemeriksaan kenderaan dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast