Salahuddin Ayub

KUALA LUMPUR – Semua pemimpin dan parti politik mempunyai tugas untuk membetulkan semula naratif ‘rakyat sudah muak dengan politik’.

Ini berikutan jumlah pengundi yang keluar mengundi pada tiga pilihan raya negeri (PRN) iaitu di Sarawak, Melaka dan Johor menunjukkan peratusan yang amat membimbangkan.

Menurut Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub, naratif tersebut perlu diperbetulkan terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Beliau menegaskan, sistem demokrasi lebih sempurna apabila mereka yang berhak untuk menunaikan tanggungjawab keluar mengundi.

“Pola penurunan ini sebetulnya adalah membimbangkan. Justeru saya harus akui bahawa semua pemimpin dan parti politik memikul satu tanggungjawab yang besar untuk memperbetulkan semula naratif ‘rakyat sudah muak dengan politik’ ini terutamanya menjelang PRU15 akan datang.

“Sistem demokrasi dan pilihan raya negara akan mempunyai imbangan yang lebih baik bukan hanya apabila adanya pengundi; tetapi adanya pengundi yang keluar mengundi menjadi indikator kepada sistem yang berfungsi,” kata Ahli Parlimen Simpang Pulai itu.

Pada PRN Sarawak, jumlah yang keluar mengundi adalah 61 peratus. Sementara di Melaka sejumlah 66 peratus keluar mengundi dan di Johor mencatatkan peratusan yang kecil iaitu 55 peratus.

“Persoalannya mengapa rakyat jadi tidak minat untuk mengundi? Rangkuman daripada beberapa analisis yang dibuat oleh para penganalisis politik.

“Antara faktor ‘kelesuan politik’ ini adalah disebabkan oleh krisis politik iaitu isu rasuah, lompat parti, integriti, ancaman kesihatan COVID-19, kekecewaan pengundi terhadap politik tanah air, literasi politik dalam kalangan anak muda (mengambil kira Undi-18 di PRN Johor dan sebagainya,” kata Salahuddin.

PRU-15 bakal berlangsung pada bila-bila masa kerana tinggal setahun sahaja lagi sebelum penggal pentadbiran ke-14  tamat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast