Aksi pemain badminton beregu negara Low Yeen Yuan dan Valeree Siow membalas hantaran lawanya dari Mesir Jana Ashraf dan Jana Abdel Kader pada Kejohanan Piala Uber di Stadium Impact Arena Bangkok pada 10 Mei 2022. Foto Befrnama

BANGKOK – Skuad wanita Malaysia menamatkan cabaran mereka dalam Pusingan Akhir Piala Uber 2022 dengan menewaskan Mesir 5-0, perlawanan terakhir Kumpulan C di Impact Arena di sini, semalam.

Malaysia yang gagal mara ke suku akhir berikutan kekalahan berturut-turut dalam dua perlawanan pertama kumpulan sebelum ini, tidak menurunkan pemain utama seperti S Kisona, Goh Jin Wei dan beregu utama, Pearly Tan-M Thinaah dalam perlawanan itu.

Juara Siri Antarabangsa Belanda 2022, Myisha Mohd Khairul meraih mata pertama untuk Malaysia apabila mengalahkan Doha Hany pada set pertama dengan kemenangan 21-5 tetapi ditentang hebat oleh pemain Mesir itu pada set kedua sebelum pemain Johor itu menamatkan aksi dengan kemenangan tipis 21-19.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Myisha berkata dia boleh bermain dengan lebih baik pada set kedua sekiranya dia berjaya mengawal angin yang kuat di dalam venue yang menjejaskan aksinya pada set terakhir menentang Doha.

“Saya rasa saya dah dapat rentak bermain dan harap dapat kekalkan momentum selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di sini.

Pemain berusia 18 tahun, Tan Zhing Yi pula mempamerkan corak permainan yang baik untuk memberikan mata kedua kepada Malaysia selepas dia menewaskan Nour Ahmed Youssri, 21-12, 21-14.

Malaysia kemudian melebarkan kedudukan menerusi Chan Wen Tse, walaupun pemain ranking 276 dunia itu ditentang hebat oleh pemain ranking 292 dunia Hana Tarek Zaher, 21-16, 21-16 dalam pertarungan selama 31 minit.

Dua beregu wanita negara, Low Yeen Yuan-Valeree Siow dan Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing berjaya menewaskan lawan masing-masing, Jana Ashraf-Jana Hesham Mohamed Abdelkader dan Nour-Hana Tarek.

Yeen Yuan-Valeree meraih mata keempat berikutan kekalahan straight set, 21-6, 21-10 Jana Ashraf-Jana Hesham manakala Anna-Mei Xing menumpaskan Nour-Hana Tarek 21-5, 21-4 untuk mengesahkan kedudukan Malaysia.

Valeree menyifatkan prestasi mereka adalah biasa selepas mengetahui hakikat bahawa lawan mereka sememangnya tiada tandingan bagi mereka manakala Yeen Yuan gembira melihat penampilan pertamanya dalam Piala Uber ternyata adalah baik dan berharap untuk lebih yakin pada edisi seterusnya di Chengdu, China, dua tahun dari sekarang.

Pasukan negara membuka kempen dengan kekalahan yang mengecewakan ke atas Denmark 2-3 Ahad lepas diikuti dengan satu lagi kekalahan kepada tuan rumah Thailand, 1-4 kelmarin, yang menamatkan misi mereka untuk layak ke suku akhir buat kali pertama sejak edisi 2010. – Bernama

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast