Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri PDRM di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 11 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Tindakan boleh dikenakan terhadap pihak yang tidak layak menggunakan khidmat iringan polis trafik jika siasatan mendapati ia melanggar peraturan.

Perkara itu ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin apabila berkata, anggota polis juga boleh dikenakan tindakan tegas jika mereka didapati melakukan kesalah berhubung perkara tersebut.

“Jika ada kesalahan yang dilakukan anggota kita, kita akan tindakan tegas. Ketika ini siasatan dalaman masih dilakukan dan kita akan umumkan dalam sehari dua ini.

“Kita akan siasat lebih lanjut untuk mendapatkan kepastian,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri PDRM, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai laporan anak seorang kenamaan yang menggunakan perkhidmatan iringan polis trafik untuk pergerakan di jalan raya.

Tindakan itu mendapat kritikan daripada warganet setelah rakaman mengenainya tular di laman sosial.

Mengulas lanjut Hamzah berkata, polis tidak pernah mengubah Prosedur Operasi Standard (SOP) dan penambahan baharu senarai berkaitan pengiring untuk memudahkan pergerakan individu tertentu.

Tambah beliau, hanya Ketua Polis Negara (KPN) yang boleh memberi kebenaran untuk aktiviti pengiring sedemikian dilaksanakan dan setakat ini kementeriannya juga tidak membenarkan sesiapa yang tidak ada dalam senarai menggunakan perkhidmatan pengiring.

“SOP ini sudah jelas dan juga telah menjawab isu ini di Parlimen. Jadi tidak timbul lagi ini.

“Apa yang berlaku adalah masalah individu yang menggunakan sesuatu (perkhidmatan) yang tidak boleh digunakan,” tambahnya. – MalaysiaGazette