Azhari Sharidan (dua dari kanan) menunjukkan produk makanan berasaskan babi dilabelkan ikan yang dirampas pihaknya di Pulau Pinang.

BAYAN LEPAS – Tindakan sebuah syarikat pengimport menyeludup masuk produk makanan berasaskan daging babi dengan berselindung di sebalik label produk ikan berjaya dibongkarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pengarah Maqis, Dr Azhari Sharidan Abu Bakar berkata, sebanyak 20,736 tin yang dianggarkan berat lebih tujuh tan itu diseludup masuk dari China menerusi Pelabuhan Pangkalan Konten Butterworth pada Februari lalu.

Jelas beliau, semakan awal pihaknya mendapati tin yang dilabelkan produk makanan berasaskan ikan itu ditahan untuk siasatan lanjut kerana diimport dengan menggunakan maklumat palsu serta menggelirukan.

“Bagaimanapun, Jabatan Kimia mengesahkan ia merupakan produk berasaskan daging babi selepas melakukan ujian persampelan.

“Susulan itu, kompaun RM16,000 dikenakan terhadap pengimport selain barang rampasan dilucutkan hak untuk pelupusan.

“Kompaun tersebut telah dibayar oleh syarikat berkenaan dan pelupusan secara insenerator atau tanam akan dilakukan dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Maqis Pulau Pinang di sini, hari ini.

Kontena berisi produk makanan berasaskan daging babi itu diseludup masuk dari China.

Pada majlis tersebut pengamal media di negeri ini turut diberikan penghargaan atas kerjasama yang dijalinkan.

Mengulas lanjut Azhari Sharidan berkata, rampasan ini merupakan terbesar membabitkan produk berasaskan babi di Pulau Pinang bagi tahun ini.

“Larangan pengimportan serta membawa masuk produk babi di setiap pintu masuk negara adalah bagi menghalang risiko kemasukan virus African Swine Fever (ASF) ke negara ini yang dibimbangi akan menjejaskan industri perternakan babi serta produk hasilanya.

“Selain itu, pihak Maqis sentiasa mengambil langkah serius mengenai pengimportan melalui sempadan negara terutamanya isu melibatkan keselamatan makann, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast