Orang ramai mengerumuni kawasan letupan di Sindh, Karachi lewat malam tadi. Foto Xinhua

ISLAMABAD – Tiga belas orang cedera apabila satu letupan berlaku di dalam kawasan pasar di wilayah Sindh, Karachi lewat malam Khamis.

Ramai dalam kalangan mereka yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Kebanyakan mereka cedera selepas terkena bebola daripada bahan letupan, kata Shahid Rasool, penguasa perubatan Pusat Perubatan Pasca Siswazah Jinnah (JPMC).

Bercakap kepada media, Menteri Penerangan wilayah Sindh Sharjeel Inam Memon berkata, siasatan telah dimulakan untuk menentukan punca letupan dan keadaan kecemasan telah dikenakan di semua hospital di bandar itu.

Sementara itu, dalam perbualan dengan Xinhua, Salman Qureshi, seorang pekerja penyelamat dengan organisasi penyelamat bukan kerajaan Saylani Welfare Trust berkata, pasukan penyelamat telah memindahkan 16 orang yang cedera ke JPMC.

Seorang daripada mereka meninggal dunia akibat kecederaan itu.

”Kejadian berlaku di kawasan padat penduduk dan terdapat ramai pejalan kaki ketika letupan berlaku,” katanya.

Perdana Menteri Pakistan Shahbaz Sharif mengutuk letupan itu dan mengarahkan Ketua Menteri Sindh untuk memberikan rawatan perubatan terbaik kepada mereka yang cedera, kata pejabat perdana menteri dalam satu kenyataan awal Jumaat.

Saluran TV tempatan ARY News memetik sumber polis sebagai berkata, bahan letupan yang disembunyikan dalam tong sampah telah diletupkan oleh militan yang tidak dikenali ketika kenderaan Pengawal Pantai Pakistan melalui kawasan kejadian.

Dalam perbualan dengan Xinhua, jurucakap pengawal pantai mengesahkan kenderaan mereka musnah dengan lima kenderaan lain dalam letupan itu tetapi enggan mengulas mengenai kenderaan rasmi itu menjadi sasaran utama dalam kejadian itu. – Xinhua