Foto Facebook Melaka United.

KUALA LUMPUR – Melaka United FC tidak rela terlepas slot ke suku akhir Piala FA dan berazam mahu mengekalkan rentak konsisten selepas berjaya menang dua kali berturut-turut dalam aksi terakhir Liga Super.

Bakal berdepan PJ City FC, esok di Stadium Hang Jebat, ketua jurulatih sementara, Mohd. Asri Ninggal berharap mereka mampu menebus kehampaan semasa tewas 0-1 kepada lawan yang sama di aksi pembukaan Liga Super.

Namun dalam masa sama, beliau memandang tinggi kemampuan PJ City yang mampu berikan cabaran hebat kepada pasukan lain walaupun menggunakan 100 peratus pemain tempatan.

“Kali ini, Melaka akan turun dengan kesebelasan berbeza berbanding semasa tewas kepada PJ di Stadium MBPJ.

“Bermain di tempat sendiri,sudah tentu jangkaan agak tinggi daripada peminat tetapi jangan sama sekali memandang rendah kemampuan lawan.

“Biarpun dibarisi semua pemain tempatan,mereka dapat buktikan kehebatan pada perlawanan terakhir apabila dapat menjaringkan dua gol dalam tempoh 20 minit bagi mengikat Kedah, 3-3.

“Jadi kami perlu bersiap sedia sepenuhnya dengan kedatangan PJ City kerana moral mereka pasti di tahap terbaik selepas dengan apa mereka tunjukkan di dalam perlawanan terakhir.

“Dalam perlawanan ini, kami dijangka berpeluang menurunkan Adriano setelah lebih sebulan tidak beraksi kerana cedera namun Justin Baas belum pulih dari masalah kecederaan pangkal paha,” katanya.

Mohd. Asri Ninggal.

Melaka United sejak di bawah kendalian Asri belum tewas dalam dua perlawanan terakhir di Liga Super apabila menang berdepan Sri Pahang (2-1) dan Kedah (3-2), kedua-dua aksi berlangsung di laman lawan.

Ditanya mengenai apa dilakukan sehingga pasukan berjaya bangkit dari kemerosotan prestasi, bekas pemain Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka pada era 80-an dan 90-an itu mengakui dia melakukan banyak perubahan daripada segi pemilihan pemain dan penggunaan formasi.

“Selepas saya mengambil tempat jurulatih asal, perkara pertama dilakukan ialah saya menyenaraikan enam pemain baharu dalam kesebelasan utama.

“Selain itu,saya mengubah formasi pasukan dari 4-3-3 kepada 4-2-3-1 kerana mahu menguatkan bahagian tengah ditambah pada waktu awalnya saya tidak dapat gunakan dua pemain import iaitu Adriano serta Emmanuel Oti.

“Ternyata strategi saya itu berkesan dan pemain cepat menyesuaikan diri sehingga mendatangkan hasil yang positif,” katanya.

Selain aksi Melaka United dan PJ City, tiga lagi perlawanan pusingan kedua akan berlangsung esok membabitkan Johor Darul Ta’zim – Sarawak United FC (Stadium Sultan Ibrahim), Sri Pahang FC – Skuad Projek FAM-MSN (Stadium Darul Makmur) dan Perak FC -Penang FC (Stadium Perak).

Satu lagi perlawanan berlangsung pada 17 Mei ini antara Perlis United dan Kuching City FC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast