Dr. Yogan Jaya Kumar (kiri sekali) serta Prof Ts. Dr. Goh Ong Sing (2 dari kiri) sewaktu menerima lawatan kerja oleh Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan ke UTeM, baru-baru ini.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang berkepakaran tinggi dalam bidang teknologi digital terkini berjaya membangunkan aplikasi DeepAI bagi membantu golongan komuniti autisme menjana pendapatan mereka sendiri.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM telah membangunkan teknologi yang dikenali sebagai aplikasi DeepAI yang merupakan suatu teknik kecerdasan buatan (AI) yang mampu menghasilkan karya seni lukisan secara automatik menggunakan pelbagai gaya yang mengagumkan.

Katanya, ini bermakna kanak-kanak autisme yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) boleh menggunakan gaya lukisan mereka sendiri untuk menghasilkan lebih banyak lukisan cantik dengan menggunakan aplikasi DeepAI.

Projek ini telah dijayakan oleh sekumpulan profesor dan pensyarah yang diketuai oleh Prof Ts. Dr. Goh Ong Sing bersama ahlinya iaitu, Dr. Yogan Jaya Kumar, Dr Zuraini Othman, Dr. Ngo Hea Choon dan Muhammad Helmy Emran dari Fakulti
Teknologi Maklumat dan Komunikasi, UTeM.

Dua orang lagi adalah Prof Ts. Dr. Effendi Mohamad dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan dan Mohd Shamsuri Md Saad dari Institut Pengurusan Teknologi dan Keusahawanan, UTeM.

Lukisan-lukisan yang dihasilkan oleh DeepAI menggunakan gaya seni kanak-kanak autisme.

Ong Sin berkata, projek ini diharapkan dapat membantu sepenuhnya golongan OKU terbabit khususnya golongan autisme bagi mengembangkan bakat seni mereka.

“Aplikasi ini akan memudahkan mereka menghasilkan karya seni mereka sendiri hingga boleh membawanya ke pasaran luas sebagai kaedah atau sumber buat mereka menjana pendapatan sendiri.

Goh berkata, kanak-kanak autisme biasanya mengambil masa satu hingga tiga minggu untuk menghasilkan sesuatu lukisan.

”Keadaan itu tentunya memberi kesukaran dan melambatkan proses penjanaan pendapatan melalui penjualan karya seni mereka namun dengan aplikasi DeepAI berjaya mengubah segalanya apabila mereka dapat hasilkan sesebuah lukisan
hanya mengambil masa sehari sahaja,” ujarnya lagi.

Inisiatif ini juga telah mendapat pengiktirafan dan sokongan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) melalui Program Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia (MyIS Komuniti).

Kini, UTeM sedang bekerjasama dengan Sektor Pendidikan Khas Melaka dan Negeri Sembilan serta Persatuan Kanner Melaka bagi mengenalpasti dan melatih kanak-kanak autisme serta OKU yang mempunyai minat dan bakat dalam seni lukisan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast