Keadaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam gaung kebun kelapa sawit di Jalan Cempaka 5, Taman Paya Rumput Indah, di Melaka pagi tadi.

MELAKA – Sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang kerani terjunam ke dalam gaung di ladang kelapa sawit di Jalan Cempaka 5, Taman Paya Rumput Indah hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, pemandu Toyota Hilux berusia 24 tahun bagaimanapun terselamat walaupun kenderaannya terbalik.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran @ Mohamad Zaki Omar berkata, berdasarkan laporan kes yang hanya diterima pukul 2.22 petang tadi pacuan empat roda itu dipercayai terbabas.

“Siasatan awal mendapati kenderaan itu bergerak dari arah Jalan Paya Rumput Perdana menghala ke Tampin dan apabila tiba di jalan mati, terbabas sebelum melanggar pokok kelapa sawit.

“Pemandunya yang beralamat di Taman Indah, Negeri Sembilan mengalami luka-luka pada muka dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Amran, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheng, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Norshah Salleh berkata, sepasukan empat anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian pada pukul 7.14 pagi.

“Setibanya di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati Toyota Hilux itu terbabas ke gaung kebun sawit dan mangsa berjaya keluar sendiri,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast